SEREMBAN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya 1 dekat sini mengharumkan nama negara apabila berjaya memenangi dua pingat emas dalam pertandingan Global IT Challenge for Youth with Disabilities di New Delhi, India, minggu lalu.
Kejayaan itu diraih oleh pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi, Mohammad Nizamudin Ismail, 17, yang membawa pulang pingat emas masing-masing bagi kategori e-Tools (individu) dan e-Contents (berpasukan).
Pengetuanya, Mokhtar Husin berkata, pihak sekolah amat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian tersebut kerana Nizamudin berjaya mengenepikan peserta lain daripada 23 negara yang bertanding termasuk United Kingdom dan China yang diketahui hebat dalam penguasaan teknologi maklumat.
“Ini merupakan kali pertama SMK Seremban Jaya 1 mencipta nama di peringkat antarabangsa dan ini juga adalah antara pencapaian tertinggi Negeri Sembilan di peringkat global.
“Saya begitu terkejut sebaik dihubungi dari India memaklumkan Nizamudin dinobatkan sebagai peserta terbaik pertandingan itu sedangkan kami tiada pengalaman di peringkat antarabangsa sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar meraikan kejayaan Nizamudin di sini hari ini.
Hadir sama meraikan pelajar itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Seremban Jaya, P.Gunasekaran.
Nizamudin turut membawa pulang AS300 (RM1,257) bagi kategori individu dan RM1,257 bagi kategori berpasukan. Tiga lagi peserta dari Malaysia masing-masing dari Negeri Sembilan, Johor dan Perlis.
Pertandingan yang berlangsung pada 8 November hingga 11 November lalu bertujuan menguji pengetahuan berhubung penggunaan komputer melibatkan pelajar berusia 16 tahun ke atas yang menghadapi masalah pembelajaran. – K! ONLINE










