KUALA LUMPUR 6 Nov. – Lebih 50 pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Media (Kewartawanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam akan menganjurkan kolokium bertajuk ‘Media dan Negara : Komunikasi, Kuasa dan Konflik’ di universiti itu pada 17 November ini.
Program tersebut diadakan bagi bertujuan menarik minat pelajar tahun akhir untuk membincangkan cabaran media di masa hadapan di samping mengkomersialkan projek yang telah dihasilkan selama tempoh setahun.
Menurut ahli jawatankuasa program, Ahirine Ahirudin berkata, kolokium itu juga bertujuan menambah baik dan memperkasakan hasil dapatan akademik projek-projek tahun akhir pelajar Ijazah Sarjana Muda Fakulti Komunikasi dan Media UiTM
“Menerusi usaha ini, pelajar dapat menambah pengetahuan dan berkongsi ilmu dengan pengamal media serta pensyarah projek tahun akhir mereka di dalam aspek cabaran industri ini serta mendapat penilaian potensi pengkomersialan.
“Program ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pihak pelajar malah untuk fakulti, kampus dan UiTM secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










