KUALA LUMPUR 12 Nov. – Seramai 16 pelajar dan seorang pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuat lawatan ke ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu) yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, di sini hari ini.
Lawatan tersebut adalah sebahagian daripada usaha USIM bagi memastikan pengetahuan para pelajar bergerak seiring dengan perkembangan industri.
Menurut Pensyarah Kanan Program Komunikasi USIM, Dr. Siti Suriani Othman, cadangan untuk mengadakan lawatan ke Utusan Melayu datang daripada pihak pelajar sendiri yang melihat pengaruh dan reputasi syarikat tersebut yang masih unggul di negara ini.
“Utusan dipilih oleh pelajar sendiri kerana mereka berpendapat akhbar terbitan syarikat ini mempunyai reka bentuk yang mantap serta reputasi yang tinggi.
“Kami juga melihat ada jurang antara kandungan pengajaran yang disediakan universiti dengan kehendak industri, maka lawatan sebegini akan dimanfaatkan untuk mengecilkan jurang itu supaya para pelajar lebih bersedia dan tidak terkial-kial apabila ditempatkan untuk latihan industri kelak,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Delegasi USIM disambut oleh Pengarah Eksekutif Sibermedia Sdn. Bhd. (Sibermedia), Ainol Amriz Ismail yang turut meluangkan masa berkongsi pengalaman beliau sebagai wartawan selama kira-kira 28 tahun bersama para pelajar. – UTUSAN ONLINE











