ISKANDAR PUTERI 14 Nov. – Kebolehan dan bakat adalah permintaan terbaharu yang perlu diadaptasi setiap penyedia industri perkhidmatan negeri ini khususnya di Wilayah Iskandar.
Pengerusi Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, permintaan itu bersesuaian bagi memastikan usaha menarik lebih banyak pelabur luar yang kini tidak hanya mementingkan kemudahan utiliti semata-mata.
“Saya lihat cabaran antarabangsa yang kita hadapi bagi menarik pelabur berkualiti sudah berubah. Dulu semasa pelabur mahu datang ke sini (Johor) mereka akan bertanya mengenai berapa harga sewa, kemudahan elektrik, air dan internet.
“Tetapi kebelakangan ini saya dapat mengesan satu trend baharu, mereka (pelabur) lebih mengutamakan bakat, bakat yang boleh digunakan dan bakat yang kita sediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pembukaan Ibu pejabat Ernst & Yong (EY), di Bandar Medini 9 di sini semalam.
Yang turut hadir Rakan kongsi dan Ketua Cukai, Melaka dan Pejabat Johor Bahru Ernst & Young, Lee Ming Li dan Rakan Pengurusan Malaysia Assurance EY, Ong Chee Wai.
Dalam kunjungan itu, Jimmy turut memuji persekitaran dan gaya kerja diamalkan organisasi perkhidmatan profesional terbabit yang disifatkan penanda aras baharu bagi Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di Iskandar Puteri.
“Pembukaan EY di kawasan ini turut memainkan peranan selain membantu menyediakan peluang kerjaya kepada rakyat negeri ini.
“Saya juga teruja melihat konsep gaya kerja dan persekitaran yang ditunjukkan EY. Ini adalah sesuatu yang saya lihat di seluruh dunia. Mereka menunjukkan perbezaan dan ia bagus dalam usaha kita mahu bergerak ke era digital ekonomi,” jelasnya.
Jelasnya, sebagai penyedia perkhidmatan audit, cukai dan khidmat nasihat yang terbesar di Johor, ia juga diyakini mampu menyediakan warga berbakat dan profesional.










