Pekerja 'gagal' dihukum makan lipas - Utusan Malaysia

Pekerja ‘gagal’ dihukum makan lipas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZUNYI, China 11 Nov. – Tiga pengurus di sebuah syarikat pemaju perumahan di sini ditahan pihak berkuasa kerana didakwa me­ngenakan hukuman melampau terhadap beberapa pekerja kerana mereka gagal mencapai sasaran jualan.

Oddity Central melaporkan, antara hukuman yang dikenakan termasuk pekerja terlibat dipaksa menelan lipas dan minum air berwarna kuning yang dipercayai air kencing.

Penahanan tiga pengurus ter­se­but dibuat selepas seorang daripada pekerja syarikat tersebut memuat naik gambar rakan-rakannya ‘dihukum’ menerusi media sosial.

Selain itu, terdapat juga rakaman video yang menunjukkan seorang pekerja lelaki tidak ber­baju berdiri di tengah-tengah dalam sebuah bilik dan disebat dengan tali pinggang oleh bosnya.

Pengurus di syarikat terbabit juga pernah menyuruh beberapa pekerja minum cuka dan air dalam mangkuk tandas, selain memaksa mereka menjual kondom serta tuala wanita di tepi jalan.

Malah, ada antara pekerja menjadi botak selepas bos mencukur rambut mereka.

Kejadian itu mendapat perhatian banyak pihak termasuk orang ramai menggesa pekerja yang didera itu supaya berhenti dan mencari pekerjaan lain.

Menurut kenyataan polis, dua daripada tiga pengurus tersebut dihukum penjara selama 10 hari manakala seorang lagi dipenjara selama lima hari.

Insiden tersebut bukan yang pertama berlaku di China kerana sebelum ini kes sejumlah pekerja dipaksa merangkak di tempat awam kerana gagal mencapai sasaran jualan menjadi tular dalam media sosial pada tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN