Pegawai polis ditukar serta-merta - Utusan Malaysia

Pegawai polis ditukar serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Balai dan pegawai-pegawai polis di bahagian jenayah daerah akan ditukar serta-merta sekiranya siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mendapati mereka melindungi operasi sindiket perjudian.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, langkah itu diambil bagi memastikan aktiviti judi tidak berleluasa dan beroperasi di kawasan daerah.

“Tindakan tatatertib juga akan diambil jika siasatan JIPS mendapati pegawai-pegawai polis terbabit melindungi sindiket perjudian,” katanya menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah laporan diterima bilik gerakan polis dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam perkembangan sama, Mohd. Aziz memberitahu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan operasi dan serbuan terhadap aktiviti judi tidak akan dilakukan secara bermusim seperti dahulu.

Kata beliau, atas sebab itu pihaknya telah membuka bilik gerakan khas yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan aktiviti tersebut dipantau dan dibanteras sepenuhnya.

Jelasnya, sebanyak 973 laporan berkaitan judi haram sehingga 31 Oktober lalu dan daripada jumlah tersebut 456 aduan merupakan laporan sahih, 264 aduan palsu manakala 253 aduan lagi memerlukan merit dan memerlukan risikan lanjut.

“Hasil tindakan bilik gerakan khas itu menunjukkan impak positif serta tren penurunan dalam aktiviti haram ini kerana sindiket tidak berani membuka premis yang telah diserbu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×