Pegawai Exco Kedah gertak imam? - Utusan Malaysia

Pegawai Exco Kedah gertak imam?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 13 Nov. – Seorang bekas ahli Parlimen yang kini memegang jawatan sebagai pegawai kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh didakwa bersikap melampaui batas dengan menggertak dan memberi amaran kepada golongan imam serta ahli jawatankuasa masjid di Daerah Kuala Muda, baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali dan diberi pencerahan oleh ADUN Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim yang mencelah ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan 2019 negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Ketika ditemui di luar dewan, Ahmad Fadzli mendakwa kejadian itu berlaku dalam pertemuan bersama kira-kira 100 imam dan ahli jawatankuasa masjid di Kuala Muda pada 24 Oktober lalu.

“Saya difahamkan bekas ahli Parlimen itu menggertak para hadirin supaya tidak mengkritik kerajaan atau menyentuh perkara berkaitan isu masyarakat dan sebagainya. Semua itu dipercayai berpunca daripada peringatan khatib di sebuah masjid tidak lama sebelum itu berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) supaya tidak didatangkan bencana seperti di Palu.

“Dalam ucapannya individu berkenaan dikatakan turut mempersoalkan khatib itu dijemput dari ‘hutan’ mana? Bagi saya keadaan seperti itu seolah-olah tidak beradab dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, selepas majlis itu berakhir, ada dalam kalangan hadirin yang memberi amaran kepada individu berkenaan supaya tidak hadir ke masjid di kariah mereka kerana dibimbangi mewujudkan suasana tidak harmoni.

“Rata-rata mereka tidak puas hati kerana individu berkenaan sebelum ini pun turut menggunakan pentas masjid untuk menghentam kerajaan terdahulu.

“Lagi pun rata-rata imam dan ahli jawatankuasa tersebut bukan sebarangan orang sebaliknya turut terdiri daripada golongan profesional. Seboleh-bolehnya kami mahu supaya perkara seperti ini diberi perhatian dan tidak berulang lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN