KUALA LUMPUR 27 Nov. – Perolehan Petronas Dagangan Bhd. (PDB) bagi suku ketiga berakhir 30 September 2018 meningkat 14 peratus kepada RM7.82 bilion berbanding suku sama tahun lalu dipacu oleh harga pasaran yang lebih tinggi.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, bagaimanapun syarikat merekodkan penurunan dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 11 peratus kepada RM391.5 juta terutama disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi yang tinggi.

Katanya, untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2018, PDB merekodkan pertumbuhan empat peratus dalam PBT berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Tahun ini adalah untuk mencipta semula perniagaan kami, terutama segmen runcit, yang mana pelaburan diperlukan untuk mewujudkan pengalaman pelanggan yang unggul melalui penyelesaian inovatif dan perkongsian strategik yang akan membantu mengembangkan perniagaan bahan api dan bukan bahan api.
“Syarikat juga memberi tumpuan kepada agenda transformasi digital untuk meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan perniagaan kekal berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, segmen perniagaan runcit PDB masing-masing merekodkan peningkatan 2.3 peratus dalam jumlah jualan dan 5.5 peratus dalam keuntungan kasar.
Menurut Syed Zainal Abidin, hasil daripada kempen pemasaran yang berkesan dan pengalaman pelanggan yang lebih baik, perniagaan pelincir juga mencatat peningkatan 4.4 peratus dalam jumlah jualan dan meningkatkan keuntungan kasar sebanyak 8.4 peratus.
Sementara itu, segmen perniagaan komersial PDB merosot dalam jumlah jualan dan keuntungan kasar masing-masing sebanyak 8.5 peratus dan enam peratus disebabkan permintaan bagi diesel dan Jet A-1 yang lebih rendah.
Segmen perniagaan gas petroleum cecair (LPG) mencatat penurunan margin dalam jumlah jualan sebanyak 1.8 peratus manakala keuntungan kasar keseluruhannya juga merosot 30.7 peratus disebabkan kos pengeluaran yang tinggi.
“Menjelang suku tahun berikutnya, syarikat akan berhati-hati terhadap ketidakstabilan harga minyak yang berterusan, ditambah dengan persekitaran ekonomi Malaysia dan sentimen pengguna yang akan memberi kesan kepada keuntungan kumpulan.










