RANCANGAN kerajaan untuk melatih pemimpin negara di masa depan, seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2019, adalah menepati strategi dan proses pembentukan negara di Malaysia yang majmuk. Sehubungan itu, pelan tindakan terperinci mengenai rancangan ini perlu diperjelaskan segera untuk dinilai oleh rakyat mengenai ciri-ciri, matlamat, manfaat, kesesuaian dan keberkesanannya.
Paling penting, perlu diperincikan apa strategi rancangan ini, apa modulnya, siapa pengendalinya dan apa kelainannya berbanding Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menelan peruntukan ratusan juta ringgit, tetapi hanya berakhir dengan kontroversi, skandal, kronisme dan mungkin juga rasuah dari segi penyediaan logistiknya.
Rakyat perlu tahu hakikat di atas kerana perenggan 127 ucapan Belanjawan 2019 hanya menyatakan “bagi memupuk nilai moral dan semangat patriotisme tinggi dalam kalangan belia, satu program baharu akan diperkenalkan iaitu Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) yang melibatkan 70,000 belia berumur 15 hingga 30 tahun dengan peruntukan RM70 juta”.
Rakyat juga khuatir peserta MFLS ini akan ditanamkan dengan semangat untuk melestarikan strategi halus pihak politik tertentu yang kini turut menguasai Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan sedang mendabik dada dengan keangkuhan kuasa yang dimilikinya.
Dengan ini, seluruh pemimpin Melayu dalam Kerajaan PH perlu prihatin dan mesti waspada terhadap kemungkinan program MFLS ini diselewengkan ke arah sesuatu matlamat rahsia pihak politik berkenaan.
Seluruh pemimpin Melayu/bumiputera dalam kerajaan hari ini mesti menentang MFLS jika ia bermatlamat untuk merejementasikan 70,000 belia Malaysia ke arah revolusi senyap untuk meruntuhkan segala program, strategi, institusi dan undang-undang yang berlandaskan jati diri Melayu.
Hakikatnya demikian kerana sehingga hari ini pun patriotisme Malaysia masih dipertikaikan paksi dan terasnya, terutama oleh pihak yang menjuarai meritokrasi dan kesaksamaan tanpa batas, seperti dipaparkan menerusi propaganda Malaysian Malaysia pada 1964 hingga 1965.
Hakikatnya juga demikian kerana antara parti politik dalam PH adalah pendukung dan pejuang tegar Malaysian Malaysia. Menurut akhbar the Rocket Ogos 1967, Deklarasi Setapak pada 29 Julai 1967, adalah polisi dan prinsip asas kepada perjuangan DAP.
Tulisan ini tidak berniat memperincikan deklarasi ini. Namun, intisarinya adalah, Malaysia tidak boleh dibina atas prinsip hegemoni kaum. Kononnya, tidak ada satu kaum pun di Malaysia, baik Melayu, Cina atau India, yang boleh disifatkan sebagai golongan majoriti. Sama ada secara terancang atau tidak sengaja, soal hegemoni kaum ini pernah disuarakan oleh Lee Kuan Yew selaku pelopor konsep Malaysian Malaysia.
Berita Harian 5 Mei 1965 memetik Lee Kuan Yew sebagai menyatakan “tidak ada satu pun dari ketiga kaum yang terbesar, iaitu Melayu, China dan India, yang boleh mengaku mereka merupakan bumiputera lebih lama di Malaysia kerana nenek moyang mereka datang ke Malaysia tidak lebih dari 1,000 tahun dahulu”.
Kenyataan ini disifatkan oleh Dewan Masyarakat terbitan 15 Mei 1965, sebagai “mengapi-apikan perasaan dengki dan cemburu-mencemburui di antara kaum yang sedang berhempas-pulas hendak mencari dan mempertahankan perpaduan di negara ini”.
Utusan Melayu 16 Julai 1965 pula menegaskan bahawa Malaysian Malaysia adalah “penentangan terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan”.
Tulisan ini tidak merungkai sama ada semangat Malaysian Malaysia Lee Kuan Yew menjadi teras kepada Deklarasi Setapak. Tetapi, kajian Leon Comber (1983) menyatakan DAP menggunakan Malaysian Malaysia sebagai slogannya dalam pilihan raya umum (PRU) 1969.
Lantas, pihak yang bertanggungjawab dengan program MFLS, jangan sekali-kali khayal dan mesti tidak buta sejarah. Pemupukan semangat patriotisme ke atas 70,000 belia sasarannya mesti dilakukan dengan cerminan sejarah, fakta, naratif dan citra politik Melayu selaku penduduk majoriti dan bangsa teras Malaysia.
Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan di era pentadbirannya dahulu, bahawa bangsa yang mahu berjaya perlu bercerminkan sejarah. Katanya, bangsa ini juga perlu sensitif kepada perkembangan semasa dunia untuk dibandingkan dengan sejarah silam di negaranya sendiri dan sejarah silam di seluruh alam. Dengan cara ini, sejarah akan jadi cermin perjuangan. Sejarah akan membolehkan sesuatu bangsa menganalisis segala kelemahan dan kemungkinan yang akan terjadi.
Oleh itu, MFLS angan dilaksanakan tanpa perincian terhadap seluruh aspek sosioekonomi dan politik Melayu/bumiputera. Sebaliknya, MFLS mesti dituntas dan diperincikan oleh pelbagai pihak yang prihatin terhadap masa depan Malaysia dan bumiputera.
DATUK DR. RUHANIE AHMAD ialah Panelis Pemikir Majlis Perundingan Melayu (MPM).










