KUALA LUMPUR 3 Nov. – Pekerja asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini ibarat mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bergerak bagi segelintir anggota penguat kuasa yang didakwa terlibat dengan kegiatan pemerasan.
Golongan terbabit menjadi mangsa kerakusan anggota badan beruniform tidak berintegriti untuk mencari ‘duit tepi’ sehingga ada yang mampu menjana pendapatan haram mencecah ribuan ringgit sebulan.
PATI terbabit terpaksa memberi habuan diminta kerana tiada pilihan demi melepaskan diri daripada dikenakan tindakan ataupun ditahan atas pelbagai kesalahan.
Menurut sumber, masalah tersebut sudah lama berlarutan malah menular seperti wabak khususnya dalam kalangan anggota penguat kuasa yang pada dasarnya dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan.
“Pekerja asing khususnya yang tidak mempunyai permit mahupun menyalahgunakannya sering menjadi mangsa kepada penguat kuasa yang tamak ini.
“Tetapi ironinya, anggota penguat kuasa ini bukan sa haja licik mencari ‘lubuk’ PATI malah dapat mengenal pasti sasaran, mana yang berpermit dan mana yang tidak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menyentuh berhubung modus operandi, sumber memberitahu, anggota berkenaan akan memilih lokasi terlindung seperti di belakang lorong sebelum menahan mangsa mereka.
“Ada di antara PATI ini ditahan secara berkumpulan selepas pulang dari tempat kerja. Sekiranya PATI yang ditahan gagal membayar jumlah diminta, penguat kuasa itu akan cuba menghubungi majikan mereka.
“Majikan juga diugut kerana menggajikan PATI, maka atas sebab tiada pilihan, majikan terpaksa membayar habuan diminta, sekiranya tidak pekerja dan majikan turut ditahan dan dilaporkan.
“Kerana memikirkan kesalahan itu selain menjejaskan operasi syarikat, majikan akhirnya terpaksa akur dan membayarnya, bayangkan sekali tahan tujuh orang dan seorang dikenakan RM1,000, jumlahnya amat besar malah lebih tinggi berbanding gaji bulanan diterima oleh seorang anggota penguat kuasa,” jelasnya.










