Pasukan mencari temui tempat duduk, tayar pesawat JT610 - Utusan Malaysia

Pasukan mencari temui tempat duduk, tayar pesawat JT610

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Tempat duduk, tayar dan bahagian lain pesawat Lion Air JT610 yang terhempas dikeluarkan dari dasar laut semalam ketika pihak berkuasa Indonesia me­nganalisis data kotak hitam yang mungkin boleh menerangkan mengapa pesawat baharu itu terjunam ke dalam Laut Jawa, mengorbankan 189 orang.

Pasukan mencari menyelongkar dasar laut untuk mencari badan pesawat jenis Boeing-737 MAX 8 itu yang terhempas di perairan utara Indonesia sejurus selepas berlepas pada Isnin lalu, beberapa bulan selepas memasuki perkhidmatan.

“Hari ini (semalam) kami akan menyelam sekali lagi di lokasi di mana kami fikir pesawat itu terhempas,” kata komander divi­syen mencari dan menyelamat Tentera Laut Indonesia, Isswarto.

“Terdapat banyak serpihan, tayar pesawat dan kerusi, semuanya musnah dan berkecai,” katanya lagi.

Pasukan penyelam melakukan pencarian di kawasan tersebut pada kedalaman antara 25 hingga 35 meter tetapi menemui semakin kurang cebisan mayat manusia berbanding awal minggu ini, tambahnya.

Cebisan mayat manusia yang ditemui dimasukkan ke dalam berpuluh-puluh beg mayat.

Kelmarin, pihak berkuasa menyatakan bahawa ia menemui salah satu daripada dua kotak hitam pesawat itu di samping sebahagian daripada peralatan pendaratan.

Kotak hitam itu menawarkan peluang terbaik untuk pasukan penyiasat mengenal pasti punca nahas.

Pesawat Boeing satu lorong itu terhempas ketika melakukan penerbangan ke bandar utama di Kepulauan Bangka Belitung, Pangkal Pinang. Ia merupakan antara jet penumpang yang paling canggih dan baharu di dunia.

Kemalangan itu menimbulkan kembali kebimbangan mengenai rekod keselamatan udara Indonesia yang lemah. Syarikat penerbangan negara itu dilarang memasuki ruang udara Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah selama beberapa tahun dan hanya ditarik balik baru-baru ini.

Menurut Rangkaian Keselamatan Aviasi, terdapat hampir 40 nahas udara maut di Indonesia sejak 15 tahun lalu.

Lion Air yang merupakan syarikat penerbangan tambang murah terbesar negara itu pula terlibat dalam sebilangan nahas udara termasuk pesawatnya terhempas pada 2004.

Pada tahun 2014, sebuah pesawat milik syarikat penerbangan AirAsia, terhempas di Laut Jawa ketika cuaca buruk dalam kemalangan udara yang me­ngakibatkan 162 orang terbunuh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN