COLOMBO 12 Nov. – Parti-parti utama Sri Lanka hari ini mengemukakan permohonan petisyen di Mahkamah Agung untuk mencabar keputusan Presiden Maithripala Sirisena yang membubarkan Parlimen dan mengumumkan pilihan raya mengejut pada 5 Januari tahun depan.
Tindakan Maithripala itu menambahkan ketegangan krisis politik dan mencetuskan kebimbangan di peringkat antarabangsa.
Beliau mengumumkan pilihan raya itu kelmarin, dua minggu selepas memecat Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe dan melantik lawannya, Mahinda Rajapakse sebagai pengganti.
Tiga parti, Parti Bersatu Kebangsaan (UNP) pimpinan Ranil, parti pembangkan utama, Gabungan Kebangsaan Tamil (TNA) dan parti berhaluan kiri Barisan Pembebasan Rakyat atau JVP adalah antara 10 kumpulan yang mengemukakan petisyen berkenaan.
“Petisyen itu diterima pagi ini dan terpulang kepada Ketua Hakim untuk memutuskan sama ada diterima untuk pendengaran,’’ kata seorang pegawai mahkamah.
Menurut beliau, beberapa kumpulan awam dan individu mengemukakan petisyen berasingan, kesemuanya menuntut pengisytiharan bantahan terhadap tindakan Presiden itu yang bertentangan dengan perlembagaan.
Semalam, Speaker Parlimen, Karu Jayasuriga menggesa kakitangan awam untuk membantah `arahan tidak sah’ Maithripala.
“Saya telah memerhati sejak dua minggu lalu ketika pihak eksekutif merampas hak dan kuasa ahli Parlimen yang telah dilantik untuk mewakili rakyat,’’ katanya.
Menurut beliau, semua pihak perlu bertindak dengan semangat patriotisme dan merdeka untuk menjaga demokrasi negara ini.
Dalam pada itu Maithripala mendakwa pertikaian dalam kalangan ahli Parlimen boleh mencetuskan `huru hara’ di negara ini jika persidangan Dewan Negara dijadualkan minggu ini.
“Jika saya benarkan ahli Parlimen bertemu pada 14 November ini, akan tercetus keganasan dalam dewan dan akan merebak ke semua kampung dan bandar, justeru keputusan yang saya buat adalah untuk mengelak berlakunya huru hara ini,’’ katanya. – AFP











