KUALA LUMPUR 13 Nov. – Gerak kerja PKR harus berjalan seperti biasa meskipun terdapat pelbagai rungutan dan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan PKR yang berlangsung di Julau, Sarawak, minggu lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden parti berkata, ratusan rungutan yang berbangkit berhubung proses pengundian PKR perlu diteliti dan disiasat mengikut saluran sepatutnya.
“Mereka yang kalah dan menang, itu perkara biasa dalam proses demokrasi, tak puas hati ada proses boleh dibangkitkan.
“Kalau mereka bawa (rungutan) ke polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) biarkan, tapi parti tak boleh tangguh lagi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Pemilihan Cabang PKR Julau diadakan pada Sabtu lalu dan keputusan ditunda berikutan tablet yang digunakan di Pusat Kompleks Sukan Julau didakwa digodam dengan perisian pengintipan.
Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din dalam satu kenyataan memutuskan pemilihan Cabang Julau tidak akan diadakan semula.
Kata beliau, perincian undi yang direkodkan dan analisis teknikal menunjukkan tiada undi yang tercicir dan keputusan pengundian tersebut sebenarnya boleh diterima pakai. – UTUSAN ONLINE.











