BELURAN – Tindakan seorang ibu yang meleraikan pergaduhan antara dua beradik lelaki membawa padah apabila dia terkena tembakan yang dilepaskan salah seorang anaknya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Berayong, Telupid di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Rinah Dansik, 60, parah pada lengan dan dada kiri selepas terkena tembakan dari senapang buatan sendiri jenis bakakuk.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila suspek berusia 33 tahun telah bertengkar dengan adik tirinya sebelum dia menghalakan senapang itu ke arah mangsa.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V. Shivanathan berkata, suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku.
“Suspek bersama bapa saudara dan seorang rakan berada di rumah mangsa sempena sambutan hari kelahiran adik tirinya. Kemudian berlaku pertengkaran antara dia dengan adik tirinya.
“Lelaki itu kemudian telah pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari kediaman mangsa dan kembali dengan membawa selaras bakakuk untuk menembak adiknya,” katanya di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











