MENGAWAL emosi semasa pasaran sedang dalam aliran menurun tidak dinafikan merupakan satu tindakan yang amat sukar, lebih-lebih lagi bagi pelabur dan pedagang saham baharu atau newbie saham.
Bagaimanapun, pedagang dan pelabur yang berpengalaman ada ketikanya juga tidak dapat mengawal emosi lebih-lebih lagi ketika melihat portfolio pelaburan menyusut dengan banyak. Ini kebiasaannya berlaku ketika pasaran mengalami kejatuhan yang teruk dan berpanjangan.
Dalam kaji selidik yang dibuat baru-baru ini ke atas pengikut laman sosial Cikgu Saham Fans di Facebook, 46 peratus merupakan orang yang takut menghadapi situasi semasa pasaran jatuh baru-baru ini. Ini merupakan hampir separuh daripada pengikut laman sosial Cikgu Saham Fans yang merasa tertekan dan risau melihat pasaran jatuh berpanjangan bilamana indeks pasaran FBM KLCI berjaya menerobos paras sokongan 1,700 mata baru-baru ini.
Kerugian
Seorang pelabur newbie pernah menunjukkan portfolio pelaburan beliau yang telah mengalami kerugian satu kaunter sebanyak 15.99 peratus semasa pasaran dalam aliran menurun tetapi kemudiannya beliau memperolehi keuntungan sebanyak 5.26 peratus apabila pasaran mengalami pantulan teknikal.
Semasa pasaran sedang jatuh, beliau membuat strategi averaging down dengan pemantauan Cikgu Saham dan berjaya menjadikan harga purata saham yang dibeli menjadi rendah. Dan apabila pasaran mengalami pantulan teknikal dan saham tersebut naik, beliau telah menjual saham tersebut dengan memperolehi pulangan pelaburan sebanyak 5.26 peratus.
Apa yang boleh dirumuskan daripada kes ini serta daripada kaji selidik yang dibuat, tidak dinafikan ramai newbie gagal mengawal emosi semasa pasaran sedang mengalami proses penurunan atau pembetulan harga. Sesetengahnya menjual pegangan saham mereka semasa aliran menurun ini sehinggakan ada yang menjual saham mereka pada paras terendah.
Banyak kes sebegini berlaku ke atas pelabur dan pedagang saham newbie yang telah membuat tindakan dan keputusan yang silap lebih-lebih lagi semasa pasaran sedang mengalami aliran menurun yang berpanjangan. Tempoh masa panjang ini kadang-kala hanya sekadar kejatuhan selama satu minggu sahaja tetapi newbie saham ini merasakan ia merupakan satu tempoh yang lama.
Cetek ilmu
Daripada kaji selidik yang dibuat, rata-rata mereka merupakan dalam kalangan yang cetek ilmu analisis teknikal, pengalaman kurang dari satu tahun dalam pasaran saham serta mempunyai modal yang kecil atau kurang daripada RM10,000.
Mereka kebanyakannya merasa risau dan tertekan semasa pasaran dalam aliran menurun kerana mereka menggunakan duit simpanan atau duit kegunaan harian untuk melakukan urus niaga di pasaran saham.
Mereka bukan sahaja menggunakan duit yang bukan ber- lebihan untuk membuat pelaburan dan perdagangan saham malah terdapat juga yang menggunakan duit pusingan daripada perniagaan kecil-kecilan untuk membeli saham.
Terpesong
Matlamat atau tujuan pelaburan newbie ini telah banyak terpesong dan silap. Apa yang dilihat daripada tingkah-laku dan tindakan pelabur dan pedagang saham baharu ini, mereka seolah-olah menjadikan medan pelaburan saham ini sebagai tempat mencuba nasib untuk membuat duit ala-ala kasino. Bukan sebagai satu tempat pelaburan alternatif yang sah dan diiktiraf oleh kerajaan.
Oleh sebab itu terdapat ramai yang membuat pelaburan dan perdagangan di pasaran saham tanpa ilmu dan bimbingan yang sewajarnya. Mereka membuat beli dan jual saham sesuka hati. Membeli saham tanpa membuat kajian saham terlebih dahulu atau mencari maklumat tentang syarikat tersenarai dahulu sebelum membuat keputusan membeli saham syarikat tersenarai untuk pelaburan jangka pendek mahupun panjang.
Mereka juga jarang bertanya atau meminta nasihat pakar atau individu yang diiktiraf kerana mereka merasakan dengan membuat beli jual sendiri terlalu mudah lebih-lebih lagi berurus niaga saham di dalam talian. Walhal, membuat beli jual sendirilah yang lebih mudah membuat kesilapan kerana tiada orang yang akan memberi nasihat dan bimbingan.
Dengan melakukan urus niaga saham sendirian, pelabur dan pedagang newbie tidak tahu bagaimana untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan dan mereka akan kerap membuat kesilapan yang sama berulang-ulang kali.
Kepada yang ingin mempelajari tentang pelaburan saham di pasaran Bursa Malaysia, sila hubungi talian 019-2352037.










