KUALA LUMPUR 13 Nov. – Pandangan bekas Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga bahawa PKR akan kehilangan gelaran reformis disifatkan tidak adil kerana hanya berlandaskan rekod keahlian parti Cabang Julau, Sarawak.
Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, walau bagaimanapun beliau menghormati pandangan Ambiga dan akan menghubunginya dalam tempoh terdekat bagi menerangkan keadaan sebenar.
Jelas beliau, peningkatan jumlah anggota keahlian PKR bukan hanya berlaku di Cabang Julau sebaliknya di beberapa cabang lain termasuk Lembah Pantai.
“Peningkatan jumlah anggota itu berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebab itu proses pemilihan parti ini juga bertujuan untuk melakukan pemutihan terhadap hal ini.
“Kita mempunyai undi ragu bagi membolehkan semakan nombor kad pengenalan dan nombor ahli kerana data yang dimiliki hari ini sejak 20 tahun lalu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Amiga menerusi status Twitter berkata, PKR akan kehilangan gelaran sebagai reformis kerana kegagalan menjalankan proses pemilihannya yang bersih dan adil.
Katanya, untuk kekal sebagai reformis, parti itu perlu memiliki kaedah pengundian yang dipercayai lebih-lebih lagi parti itu yang memulakan pergerakan Bersih.
Sementara itu, Pengerusi PKR Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, kepemimpinan parti sentiasa menghormati Ambiga dan menyifatkan teguran bekas Presiden Majlis Peguam itu bertujuan untuk menambah baik parti.
Beliau yang juga calon Naib Presiden PKR berkata, teguran itu tidak akan melemahkan semangat pemimpin dan ahli-ahli PKR untuk terus melakukan reformasi di negara ini.
“Kita telah menunjukan kepada rakyat Malaysia bahawa kuasa demokrasi telah berlaku walaupun dia bising, justeru kita tetap bertahan dengan idealisma itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










