Palestin patuh gencatan senjata bersyarat - Utusan Malaysia

Palestin patuh gencatan senjata bersyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY 14 Nov. – Kumpulan pejuang Pa­lestin di Genting Gaza mengumumkan akan mematuhi gencatan senjata dengan Israel melalui usaha yang dilakukan Mesir namun hanya akan mematuhinya jika Israel melakukan perkara yang sama.

Kumpulan itu termasuk Pergerakan Hamas memaklumkan perkara itu semalam selepas beberapa pertempuran sengit yang hampir mencetuskan perang besar antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan tentera ­Zionis masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap kenyataan berkenaan manakala Menteri Pertahanan, Avidgor Lieberman menegaskan tidak menyokong penamatan sera­ngan itu.

Serangan udara tentera Israel dalam tempoh 24 jam lalu menyebabkan tujuh penduduk Gaza terbunuh dan disifatkan pertempuran pa­ling sengit antara Israel de­ngan pejuang Palestin sejak perang 2014.

Bunyi siren kecemasan berlarutan di selatan Israel manakala beribu-ribu penduduk mencari tempat perlindungan ketika 460 roket dan mortar dibedil dari Gaza sekali gus mencederakan 24 orang, tiga daripadanya kritikal.

Seorang buruh penduduk Palestin dari Tebing Barat terbunuh apabila sebuah roket mengenai sebuah bangunan di bandar Ashkelon.

Dalam satu kenyataan sema­lam, Mesir menggesa Israel agar memberhentikan ‘tindakan ketenteraan’ terhadap Gaza.

“Usaha Mesir berjaya membawa gencatan senjata antara kumpulan pejuang Palestin dan musuh kami, tentera Zio­nis,” lapor kumpulan Gaza itu.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyua­rat tertutup semalam atas permintaan Kuwait dan Bolivia bagi membincangkan tentang pertempuran itu.

Bagaimanapun para diplomat memberitahu, tiada sebarang persetujuan tentang cara untuk mengendalikan krisis berkenaan.

Sebelum mesyuarat ber­ke­naan diadakan, seorang sumber diplomatik memberi­tahu, keadaan di Semenanjung Gaza sangat berbahaya dan boleh meletus pada bila-bila masa sahaja. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN