Pakar terkejut projek Bukit Kukus tiada EIA - Utusan Malaysia

Pakar terkejut projek Bukit Kukus tiada EIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 13 Nov. – Pakar tanah daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ruhizal Roosli melahirkan rasa terkejut dengan pengesahan tiada Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dibuat bagi projek pembinaan Jalan Raya Berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong di sini.

Pensyarah Pengurusan Bencana, Pembangunan, Perancangan dan Kajian Perumahan, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM itu berkata, laporan EIA merupakan keperluan kritikal bagi sesebuah projek untuk melihat impak pembangunannya terhadap alam sekitar.

Ujar beliau, garis panduan sedia ada dilihat tidak berguna apabila pembangunan di kawasan alam sekitar yang sensitif dan berisiko tidak berpandukan EIA.

“Kebimbangan yang disuarakan beberapa pakar sebelum ini (termasuk keperluan EIA) bukan bertujuan untuk menghukum mana-mana pihak, sebaliknya mahu menghindarkan kejadian buruk.

“Sebab itu agak pelik apabila kerajaan negeri meluluskan projek ini tanpa EIA,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar serta Desa negeri, Jagdeep Singh Deo ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini yang mengesahkan kajian EIA tidak dilakukan terhadap projek itu.

Dalam kejadian pada 19 Oktober lepas, sembilan buruh warga asing maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek pembinaan jalan berkembar di kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN