IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) telah menyambung kontrak jurulatih, Mehmet Durakovic untuk terus mengemudi skuad ‘The Bos Gaurus’ bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim depan.
Presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata satu pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat oleh pihak Pafa berkaitan perkara itu.
“Dia (Mehmet) telah ikat kontrak dengan kita tapi belum dimuktamadkan secara rasmi. Saya akan buat pengumuman rasmi berkaitan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Pada 1 November lepas, media tempatan melaporkan hasrat Selangor untuk kembali menggunakan khidmat Mehmet musim depan mungkin tidak kesampaian apabila jurulatih dari Australia itu membuat ‘pusingan U’ untuk kekal bersama Perak.
Dalam kenyataan sama, Mehmet turut didakwa tidak berminat dengan tawaran kontrak yang diberikan Pafa.
Mengulas mengenai khidmat lima awang import Perak, Hasnul Zulkarnain yang juga Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri berkata sebahagian besar daripada mereka akan terus dikekalkan untuk memperkuatkan pasukan.
Ketika ini, lima pemain import yang bersama Perak adalah Leandro Dos Santos Oliveira dari Brazil; Gilmar Jose Da Silva Filho (Brazil), Wander Luiz (Brazil), Jad Noureddine (Lubnan) dan Misagh Bahadoran (Filipina). – Bernama










