Padah tiada pengenalan diri, tiga warga Indonesia ditahan APMM - Utusan Malaysia

Padah tiada pengenalan diri, tiga warga Indonesia ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Tiga warga Indonesia termasuk seorang wanita tanpa pengenalan diri ditahan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu operasi ke atas sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang dari Pulau Ketam petang semalam.

Ketiga-tiga mereka yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 28 tahun ditahan kira-kira 0.2 batu nautika dari Tanjung Harapan di sini.

Pengarah APMM Negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, ketiga-tiga warga Indonesia berkenaan ditahan semasa pihaknya sedang melakukan operasi rutin di sekitar kawasan perairan Selangor dan telah menahan sebuah feri penumpang untuk membuat pemeriksaan.

 “Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat dua lelaki dan seorang wanita warga indonesia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka pada awalnya cuba mengelakkan diri daripada diperiksa dengan menyorok di belakang tempat duduk penumpang lain tetapi perbuatan itu dapat dihidu pihak berkuasa yang sudah lali dengan taktik yang sering dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Rosli berkata, ketiga-tiga mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Katanya, APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan operasi di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lorong tikus bagi menghalang sebarang kemasukan secara tidak sah dan penyeludupan migran daripada terus berlaku.

 “Kita berharap agar orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat yang lengkap jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah dilaut di talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN