P. Pinang mahu UTC dibina di Butterworth - Utusan Malaysia

P. Pinang mahu UTC dibina di Butterworth

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 14 Nov. – Kerajaan negeri telah mencadangkan kepada Kementerian Kewangan agar menimbangkan Butterworth sebagai lokasi bagi penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di negeri ini.

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, syarikat berkaitan juga telah berhubung dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk tujuan itu sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita memang telah tawarkan (Butterworth) untuk dipertimbangkan sebagai UTC tapi sampai sekarang masih belum ada apa-apa perkembangan lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, Kon Yeow berkata, kajian mengenai penubuhan UTC itu sedang dilakukan oleh Kementerian Kewangan ketika ini.

Menjawab soalan Mohd Tuah Ismail (PKR-Pulau Betong) yang mahu perkhidmatan pusat sehenti atau ‘one stop centre’ diwujudkan di Balik Pulau bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan jabatan kerajaan, kata Kon Yeow, penubuhan UTC atau Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bergantung kepada keperluan penduduk setempat.

“Sekiranya terdapat keperluan serta peruntukan kewangan yang membenarkan, Kementerian Kewangan akan mewujudkan UTC di bandar-bandar utama yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN