Orang Melayu perlu tolak sikap penting diri sendiri - Bersatu - Utusan Malaysia

Orang Melayu perlu tolak sikap penting diri sendiri – Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Orang Melayu dan kaum pribumi lain negara ini harus menolak sikap mementingkan diri sendiri atau mengharapkan kepentingan tertentu dalam memperjuangkan nasib serta masa depan kaum itu. 

Demikian ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Abu Bakar Yahya yang mana beliau mendapati sikap itu dikenalpasti menjadi salah satu punca yang akan menyekat kemajuan bangsa itu. 

“Apabila ada pemimpin berjuang dan bercakap mengenai usaha memperkasakan agenda pribumi, seharusnya kita ikhlas demi nasib masa depan anak-anak bangsa pada masa depan.

Bagaimanapun, jika ada pihak yang mengharapkan sesuatu untuk kepentingan peribadi di sebalik perjuangan itu dan tidak mendapat apa yang didambakan, mereka mungkin mereka akan menjadi manusia kecewa. 

“Apabila kecewa, barangkali pihak terbabit sanggup melakukan apa sahaja termasuk fitnah, hasad dengki, mengadu-domba dan menjatuhkan di antara satu sama lain. Natijahnya orang Melayu dan kaum pribumi lain tidak akan maju,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama penduduk serta ahli-ahli Bersatu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam di sini hari ini. 

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Bersatu Cawangan PPR Seri Alam, Bustaman Yaacob. 

Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri turut menerima lebih 100 borang keahlian Bersatu yang disampaikan oleh Ketua Bersatu Cawangan Jalan Sungai Besi, Bustaman Yaacob. 

Dalam pada itu, Abu Bakar turut mengingatkan para pemimpin Melayu dan kaum pribumi lain supaya sentiasa membuka ruang dan peluang yang luas kepada golongan muda baik dari segi pelaksanaan idea dalam pelbagai perkara termasuklah dari sudut kepimpinan. 

“Golongan muda hari ini merupakan aset yang akan menentukan hala tuju bangsa pada masa depan. Jika ada pemimpin hari ini menyekat atau membunuh semangat,  idea dan kepimpinan orang muda, macam mana kita nak harapkan mereka membela nasib bangsa akan datang,” soalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN