Noryn tolak masalah peribadi - Utusan Malaysia

Noryn tolak masalah peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAJAH manisnya sentiasa mengukirkan senyuman. Gelak ketawa masih lagi kedengaran. Namun siapa yang dapat menebak apa yang sedang bersarang dalam hati wanita yang satu ini.

Bukan mudah untuknya berhadapan dengan situasi yang kian meruncing. Saat namanya kembali menjadi sebutan satu Malaysia, rumah tangga yang dibina pula berhadapan dengan kehancuran.

“Saya tidak mahu menjadikan masalah rumah tangga sebagai hal yang menyekat perjalanan hidup. Bidang seni adalah dunia saya dan masalah rumah tangga adalah masa lalu.

“Apa yang saya lakukan hanyalah meneruskan hidup dan kembali aktif dalam bidang seni. Ini minat dan pekerjaan saya, takkan mungkin saya mahu menjeruk hati tanpa melakukan apa-apa,” kata penyanyi Noryn Aziz.

Beberapa bulan lalu, suaminya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang juga merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memfailkan nusyuz terhadapnya.

Enggan mengulas lanjut apa yang berlaku kepada rumah tangganya itu, Noryn sebenarnya dinasihati oleh pihak peguam yang mewakilinya untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Bimbang tersalah cakap barang kali, Noryn meminta agar semua pihak tidak membahaskan isu nusyuz tersebut dan membiarkan dirinya sahaja berhadapan dengan perkara itu.

“Saya tidak boleh nak kongsi apa-apa mengenai hal tersebut. Daripada tersalah cakap baiklah saya mendiamkan diri sahaja. Tapi saya tenang menghadapinya.

“Bila difikirkan, orang sekeliling banyak memberikan sokongan moral. Saya tidak keseorangan menghadapinya. Ini yang memberikan kekuatan kepada saya sebenarnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noryn mengesahkan yang rumah tangga mereka sudah dilanda badai sejak setahun yang lalu. Dalam tempoh berkenaan dia mengakui bersedih namun anak tunggalnya, Umar, 4, menjadi sumber kekuatan.

Tambahnya, tidak guna untuknya terus bersedih atau mengurung diri dengan masalah tersebut sedangkan masa yang bergulir tidak akan terganti.

“Saya boleh saya memilih untuk mengurung diri dan bersendirian tapi untuk apa? Sedangkan dalam masa 24 jam sehari macam-macam perkara yang boleh dilakukan,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN