“Ada beratus jenis nasi Arab, tapi kalau ditanya pada orang sini (Malaysia) mereka hanya kenal nasi Mandy, Kabsah atau yang mula popular sekarang, Maqlubah. Cara masaknya juga pelbagai, tetapi orang Arab lebih berbangga dengan teknik memasak di dalam tanah, yang mana nasi ‘ditanam’ sekali bersama seekor kambing.”
Demikian penjelasan Wan Habsah Wan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Cef Ustazah, yang berpeluang mempelajari banyak teknik masakan nasi Arab ketika tinggal di Jordan selama sembilan tahun kerana menyambung pengajian di sana.
Dia, yang memang minat memasak sejak usia 13 tahun, gemar memerhati kerja-kerja tukang masak di restoran ibunya, yang mengusahakan perniagaan makanan dan ketering di Kota Bahru, Kelantan.
Ditambah pula dengan pengalaman melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah dan Pengajian Islam di Universiti Mu’tah Jordan, membuatkan dia mahir dalam menyediakan nasi Arab.
“Ketika di Jordan, saya tidak duduk di asrama, sebaliknya tinggal menyewa bersama tuan rumah, orang Arab. Dari situ saya melihat dan belajar sedikit demi sedikit cara mereka memasak.
“Sekembalinya ke tanah air, saya bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Saya dapati kebanyakan rakan-rakan pensyarah wanita, kerap membeli makanan di luar dan jarang masak di rumah dek kesuntukan masa.
“Rakan-rakan yang tahu saya boleh masak, menyarankan saya membuat pes masakan yang boleh membantu memudahkan mereka masak di rumah.
“Dari situ saya cuba buat pes seperti kerutuk, rendang dan sebagainya. Tak sangka, permintaan di luar jangkaan sehingga menjangkau ke jabatan-jabatan lain.
“Tujuan asal saya menghasilkan pes segera ini adalah untuk menggalakkan wanita memasak sendiri di rumah dengan cepat dan mudah,” ujarnya yang mengambil keputusan berhenti kerja di UiTM untuk bergelar usahawan.
Sejak tiga tahun lalu dia menjalankan perniagaan tersebut dengan serius setelah mempunyai kilang sendiri di bawah Syarikat Fatha Marketing yang terletak di Padang Tembak, Kota Bahru.
Bermula dengan pes masakan Melayu seperti gulai kawah darat, sambal tumis, asam pedas, kerutuk, rendang, sup, kuzi dan sebagainya, kini syarikat tersebut menghasilkan 23 produk lain termasuk minuman koko Arab, tepung kek segera, hubub (bijirin sarapan pagi) dan banyak lagi di bawah jenama Chef Ustazah.
Namun, produk yang menjadikan Wan Habsah di kenali ramai sudah tentunya nasi Arab yang menjadi kemahirannya.
Buat masa dia menampilkan tiga jenis nasi Arab yang popular di negara ini, iaitu Mandy, Kabsah dan Maqlubah yang didatangkan dalam dua bentuk, iaitu kotak (lengkap pes bersama beras) dan pes.
“Idea asal membuat pes nasi Arab sebenarnya dicetuskan oleh peserta-peserta yang mengikuti kelas masakan saya.
“Pada mulanya saya menolak kerana proses penyediaan pes nasi Arab rumit dan mengambil masa yang lama, iaitu lapan hingga 10 jam. Namun, apabila saya melihat sambutan tinggi dari kalangan pengusaha restoran dan hotel, saya cuba untuk menghasilkan pes nasi Arab yang memenuhi selera orang kita ”
“Hidangan nasi Arab yang asli rasanya lebih tawar dan kering. Jika di negara Arab , mereka akan menanam ayam atau kambing dalam dapur yang digali dalam tanah. Tiada kuah untuk digandingkan bersama nasi tersebut.
“Tetapi, saya memperkenalkan nasi Arab ini dengan sambal dan acar sebagai pelengkap selera tekak orang Melayu yang menggemarkan sajian tersebut dipenuhi dengan rasa masam, manis dan pedas.
“Lauknya, selain ayam, daging lembu dan kambing, saya olah supaya enak dimakan dengan hidangan makanan laut seperti udang, ketam dan sebagainya,
“Terbaharu, saya memperkenalkan hidangan nasi Arab keju. Ketika nasi hendak kering, segera taburkan hirisan keju, kecilkan api dan biarkan keju meleleh memenuhi segenap ruangan nasi Arab tersebut.
“Selain suri rumah, pes nasi Arab ini juga sesuai untuk pengusaha restoran atau kedai-kedai makan kerana mereka tidak perlu mengeluarkan kos tinggi membawa cef dari Arab atau belajar dengan cef-cef profesional.
“Dengan adanya pes seperti ini, sesiapa sahaja boleh cuba untuk memasaknya. Cara penyediaan dan sukatan ada diterangkan pada bungkusan pes atau kotak nasi Arab tersebut,” ujarnya yang mengakui kilangnya sudah memperoleh sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Sementara itu, berkat kesungguhan dan komitmen dalam bidang perusahaan makanan, Wan Habsah meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Ikon Usahawan Halal Kelantan, menang Pertandingan Pes Masakan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, serta menang Anugerah Inovasi Mardi 2018.
Dia juga diundang mengadakan demonstrasi masakan di beberapa program televisyen termasuk Selamat Pagi Malaysia di RTM1 dan mengendalikan segmen Serambi Ustazah pada bulan Ramadan di saluran yang sama.
“Saya juga pernah diberi peluang mengacarakan rancangan masakan Lazeez Jiddan terbitan TV Al-Hijrah selama 13 episod. Dalam masa yang sama, saya pernah bersiaran di Radio Ikim, Bernama dan sebagainya,” katanya yang sejak 2009 menjadi jurulatih masakan kepada Jabatan Pembangunan Wanita, Kolej Komuniti, Kolej Vokasional dan MARA.
Melalui siri kelas masakan Ustazah Cooking Classes, Wan Habsah, telah melatih lebih 5,000 orang di seluruh negara dalam bidang makanan terutama pengusaha katering, restoran dan hotel.
Bagi mereka yang ingin merasai produk Cef Ustazah boleh mendapatkan daripada stokis dan pengedar atau hubungi 019-2823151 atau 019-2272305.
……………………………………………
Gambar Wahidah Zainal










