Niat memancing ikan untuk jamuan makan malam sekeluarga bertukar tragedi - Utusan Malaysia

Niat memancing ikan untuk jamuan makan malam sekeluarga bertukar tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Niat seorang pelajar lelaki berusia 12 tahun memancing ikan untuk jamuan makan malam bersama keluarga tidak kesampaian apabila mati lemas di sebatang sungai di Kampung Bunga Mas, Sungai Emas, Simpang Empat dalam kejadian kira-kira pukul 12.16 tengah hari hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa, Muhammad Qayyum Zamri, 12, yang merupakan seorang pelajar sekolah Tahun Enam, Sekolah Agama Al-Islahiyah di sini memancing ikan bersama dua orang rakan lelakinya dengan menaiki sebuah basikal.

“Namun, semasa ingin mengubah lokasi memancingnya, basikalnya secara tiba-tiba telah terjatuh ke dalam sungai itu.

“Mangsa mengambil keputusan nekad dengan terjun ke dalam sungai itu untuk mendapatkan semula basikalnya.

“Tetapi, mangsa tidak timbul semula selepas menyelam di sungai itu yang menyebabkan dua rakannya berlari dan meminta bantuan penduduk kampung berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis bergegas ke lokasi kejadian sebelum melancarkan operasi untuk mengesan mangsa.

Mayat pelajar malang yang tidak bernasib baik itu berjaya ditemui sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, kedalaman sungai itu lebih tiga meter dan hujan turun hampir setiap hari di seluruh Perlis sejak bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Wari berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Fauziah di sini untuk proses bedah siasat.

Kes dikategorikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN