NAPLES, Itali – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar menempelak pengadil, Bjorn Kuipers kerana layangan kad kuning diterimanya pada minit ke-90 sewaktu seri 1-1 dengan Napoli dalam aksi Kumpulan C Liga Juara-Juara di Stadio San Paolo awal pagi semalam.
Neymar, 26, menganggap kad kuning itu merupakan satu tindakan tidak wajar daripada Kuipers, 45, dan membuat isyarat sarkastik dengan menepuk tangan tanda bersetuju dengan keputusan pengadil dari Denmark tersebut.
Penyerang Brazil itu dihukum kerana berbalah dengan Kuipers kerana mendakwa pemain Napoli tidak berada pada jarak yang betul ketika dia mahu mengambil sepakan percuma pada minit ke-90.
“Pengadil bertindak kurang sopan dengan memperkatakan sesuatu yang tidak sepatutnya kepada saya,” kata Neymar.
PSG terlebih dulu menjaringkan gol menerusi Juan Bernat pada minit ke-45 sebelum Lorenzo Insigne menyempurnakan sepakan penalti dalam babak kedua untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Ketua jurulatih PSG, Thomas Thucel juga tidak berpuas hati kerana salah seorang pemain Napoli berada dalam kedudukan ofsaid sebelum lawan dianugerahkan sepakan penalti.
Keputusan seri itu menyaksikan PSG kini menghuni tangga ketiga Kumpulan C, ketinggalan satu mata di belakang dua pasukan teratas iaitu Napoli dan Liverpool. – Agensi











