KUALA LUMPUR 14 Nov. – Golongan petani, nelayan, pekebun kecil serta warga Felda kini dalam keadaan berkabung selepas pembentangan Belanjawan 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keluhan itu dimaklumkan kepada beliau selepas bertemu dengan golongan tersebut di beberapa kawasan di luar bandar.
“Saya melawat kawasan luar bandar, Felda, petani, pekebun kecil, nelayan dan saya tanya mereka kenapa keadaan di luar bandar muram.
“Mereka kata kami bukan muram, kami sedang berkabung. Saya juga ke kawasan Beserah, Pahang minum teh dengan nelayan dan tengok laut bergelora, mereka beritahu dalam sebulan boleh keluar ke laut tujuh hari sahaja, kami tak malas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN ONLINE










