Najib persoal Guan Eng, Tony Pua beriya-iya mahu laksana FundMyHome - Utusan Malaysia

Najib persoal Guan Eng, Tony Pua beriya-iya mahu laksana FundMyHome

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hanya Lim Guan Eng dan Tony Pua sahaja yang bersungguh-sungguh dalam Skim FundMyHome di negara ini.

“Tidak ada orang lain. Oh saya hampir terlupa, pemilik skim itu juga,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam hantaran Facebook tengah malam tadi.

Menurut beliau dalam ucapan Bajet 2019, mereka mempromosikan mekanisme skim P2P dengan hampir 200 patah perkataan.

Sedangkan dalam teks, katanya, tidak menyebut langsung perkataan pesawah, petani, peladang dan nelayan. Felda hanya disebut sekali.

“Mengapa begitu? Hanya Menteri Kewangan tahu mengapa.

“Sehari dua ini, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan telah memberi amaran mengenai Skim FundMyHome. Ini pemaju perumahan sendiri yang beri amaran,” katanya.

Pakar-pakar juga, jelas beliau, berkata skim seumpama ini mungkin akan bawa masalah besar kepada negara.

Katanya, dalam kemelut Bajet 2019 dan skim perumahan FundMyHome ini, perlulah ada pihak yang bertanggungjawab.

“Siapa? Biarlah rakyat tentukan. Yang lebih penting bagi saya, setelah kesemua ini berlalu, apakah bantuan yang ada lagi untuk memudahkan pemilikan rumah?” katanya.

Kementerian Kewangan hari ini, katanya, telah mengecewakan rakyat. Tidak lagi membantu rakyat dan memudahkan pemilikan rumah.

“Janganlah tinggalkan mereka. Bantulah rakyat yang susah. Berilah peluang kepada mereka membina rumah tangga dan memiliki kediaman di bumi sendiri,” ujar Najib. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN