PULAU PINANG 12 Nov. – Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow menjelaskan beliau tidak sedar tentang pandangan oleh dua wakil rakyat parti itu di Pahang yang mahukan DAP menyokong ratifikasi Konvesyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, beliau juga tidak menyedari pandangan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung perkara itu yang disiarkan menerusi portal milik DAP kelmarin.
“Apa itu, saya tidak ikuti isu ini,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
ADUN Tras, Chow Yu Hui dan ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong menerusi catatan berkenaan dilaporkan berkata, DAP perlu membetulkan sistem dan dasar perkauman yang diamalkan Barisan Nasional (BN) dengan memberi sokongan kepada ICERD di Parlimen atau menerusi wakilnya dalam Kabinet.
Asas kepada pandangan berkenaan, menurut kedua-dua wakil itu, selari dengan Deklarasi Setapak yang menjadi prinsip perjuangan DAP iaitu memperjuangkan prinsip kesaksamaan kaum.
Semalam, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyelar kedua-dua wakil rakyat berkenaan serta menyifatkan mereka sebagai bersikap perkauman. – UTUSAN ONLINE










