LONDON 10 Nov. – Pemain No. 1 dan 2 dunia, Novak Djokovic serta Rafael Nadal dijadual beraksi dalam perlawanan pertunjukkan lumayan di Asia Barat tiga hari sebelum sambutan Krismas.
Kedua-dua bintang tenis itu berada dalam tekanan selepas aktivis hak asasi manusia menggesa agar perlawanan tersebut dibatalkan.
Arab Saudi menjadi tumpuan dunia ekoran rekod hak asasi manusia mereka yang buruk, terutama selepas Jamal Khashoggi dibunuh dengan kejam dalam bangunan kedutaan negara itu di Istanbul.
Khashoggi, seorang wartawan diperdaya untuk hadir ke ibu pejabat kedutaan tersebut yang kemudiannya disahkan pembunuhan lelaki itu telah dirancang.
Nadal dan Djokovic sedang mempertimbangkan mahu membatalkan komitmen mereka ekoran bantahan besar-besaran di seluruh dunia, dan kecederaan menimpa Nadal memudahkan mereka untuk membuat keputusan.
“Benar, perlawanan itu tidak akan diteruskan. Ya (kerana Nadal mengalami kecederaan),” kata Djokovic.
Nadal terpaksa diketepikan tujuh minggu kerana kecederaan lutut yang menimpanya pada Terbuka Amerika Syarikat, September lalu.
Jaguh Sepanyol itu dijangka kembali beraksi pada Paris Masters, minggu lalu tetapi berdepan masalah perut, malah dia juga terpaksa menarik diri daripada Final ATP.
Nadal juga membuat keputusan menjalani pembedahan buku lali, awal minggu ini. Ini bermakna pemain No. 2 dunia itu menamatkan aksinya musim ini lebih awal dan membatalkan perlawanan kontroversi dengan Djokovic. – AGENSI











