KUALA LUMPUR 2 Nov. – MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. (MYTV) meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) campur tangan dalam menyelesaikan pertikaiannya dengan Telekom Malaysia Berhad (TM).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MYTV, Michael Chan berkata, MYTV sedang bekerjasama dengan TM bagi mencari jalan penyelesaian memastikan kesinambungan perkhidmatan Televisyen Terestrial Digital (DTT) dan MYTV menjelang penutupan siaran analog (ASO) pada suku pertama 2019, meskipun berdepan pindaan terma konsesi yang sedang dimuktamadkan kerajaan.
Jelasnya, dalam tempoh siaran ujian DTT, pemegang lesen Content Applications Service Providers (CASP) tidak dikenakan bayaran sehinggalah tarikh rasmi ASO ditentukan oleh kerajaan dan semua penyiar masih dikenakan bayaran oleh TM untuk perkhidmatan transmisi analog.
“Kami memohon TM agar menarik balik penggantungan perkhidmatan serta-merta agar rakyat dapat terus menikmati perkhidmatan tersebut sehingga pengumuman tarikh rasmi ASO dibuat oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










