SINGAPURA – Myanmar sepatutnya mencontohi Malaysia yang menerima orang asing apabila ia mencapai kemerdekaan 61 tahun lepas, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Rohingya perlu dilayan sebagai rakyatnya,” kata beliau pada sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2018 yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-3 di sini hari ini.
Mahathir berkata demikian apabila ditanya apakah yang perlu dilakukan ASEAN yang dianggotai 10 negara itu bagi membantu masyarakat Rohingya.
“Cuba anda lihat, ketika Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kami mempunyai orang berketurunan asing. Kami terima kesemua mereka. Kini mereka menjadi warganegara. Mereka memainkan peranan dalam politik negara kami.
“Mereka hidup dengan bebas. Mereka tidak ditahan. Mereka tidak ditahan kerana bangsa atau sebagainya. Mereka mungkin ditahan kerana melakukan perkara yang salah, tetapi bukan kerana perbezaan kaum,” katanya. – Bernama










