Mustapa berbahas kali pertama sebagai wakil rakyat PH - Utusan Malaysia

Mustapa berbahas kali pertama sebagai wakil rakyat PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Datuk Seri Mustapa Mohamed buat kali pertama tampil berbahas sebagai Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar, Mustapa (PH – Jeli) banyak menyentuh mengenai isu ekonomi dan pelaburan asing yang amat dekat dengannya ketika memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sewaktu bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Ada juga isu-isu lain yang disentuh beliau termasuklah masalah pekebun, petani dan nelayan.

Mustapa turut mengutarakan cadangan supaya lebih banyak sekolah berasrama penuh mengguna pakai modul seperti di Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mengumpulkan pelbagai kaum di sebuah sekolah untuk membentuk pemimpin dalam politik, kerajaan serta sektor swasta.

Sepanjang 20 minit berbahas, tiada celahan yang menggangu Mustapa kecuali pada minit-minit terakhir perbahasan beliau.

Antaranya Mustapa menerima soalan provokasi daripada Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang mempersoalkan sumbangan beliau kepada Kelantan sepanjang memegang jawatan menteri Kabinet untuk beberapa penggal bersama BN.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu membalasnya dengan memberitahu hanya rakyat Kelantan sahaja boleh menilai sumbangan beliau.

“Apa saya buat untuk Kelantan bukan saya nilai, rakyat Kelantan yang lebih layak untuk menilai. Terserah kepada rakyat Kelantan untuk nilai apa saya sudah buat untuk negeri itu,” jelas beliau.

Mustapa pada 26 Oktober lalu mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), salah satu daripada komponen yang membentuk gabungan PH. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN