KUALA LUMPUR 14 Nov. – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyangkal satu video yang tular di media sosial menunjukkan seolah-olah beliau membangkitkan sikap jahat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Musa berkata, klip video bertajuk ‘Korek, Bongkar, Dedah’ sepanjang 20 saat itu telah disunting secara khusus untuk disesuaikan dengan tujuan pihak yang melakukan penularan.
“Sebenarnya kata-kata itu adalah komen terhadap tuduhan bahawa saya meletak jawatan kerana diugut Dr. Mahathir.
“Apabila diteliti kenyataan dan klip video berkenaan, jelas bahawa perkataan ‘kotor’, ‘berdosa besar’ dan sebagainya bukan dituju kepada Dr. Mahathir tetapi kepada aktivis politik yang menyarankan untuk menyingkirkan saya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










