KUALA LUMPUR 12 Nov. – Skuad Harimau Malaya meraih motivasi tinggi menjelang pertembungan Piala AFF menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti apabila Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hadir menyampaikan sesi tazkirah dan doa selamat.
Menerusi status yang dimuat naik Facebook rasminya, Zulkifli memberikan kata-kata semangat kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, hari ini.
“Singgah ke sini (Palace of the Golden Horses) memberikan kata-kata semangat kepada pasukan bola sepak kita. Nampaknya, mereka sedang solat Zohor. Selepas ini, insyaAllah saya akan sampaikan sesi ringkas tazkirah,” tulisnya di Facebook @drzulmuftiwp.
Ujar Zulkifli, beliau menzahirkan rasa syukur kerana dapat meluangkan masa bersama Harimau Malaya dan mendoakan agar kemenangan mengiringi Malaysia dalam perlawanan kedua Piala AFF itu.
“Apa yang penting adalah disiplin dan bekerja dalam satu pasukan. Tahniah jurulatih Tan Cheng Hoe atas kegigihan melatih barisan #HarimauMalaysia yang bakal beraksi malam ini jam 8.45 menentang Laos bagi merebut Piala AFF Suzuki. Saya doakan semoga berjaya dan terus cemerlang,” tulisnya lagi.
Malaysia kini menghuni anak tangga kedua di belakang Vietnam selepas masing-masing mengumpul tiga mata, dengan Harimau Malaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kemboja dalam aksi pembukaan di Stadium Olimpik, Phnom Penh Khamis lalu.
-habis././










