Muay Thai kanak-kanak, sukan atau eksploitasi? - Utusan Malaysia

Muay Thai kanak-kanak, sukan atau eksploitasi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi masyarakat Thailand, Muay Thai bukan sekadar sukan kebangsaan dengan sejarahnya tersendiri sejak 700 tahun lalu, bahkan merupakan sebahagian daripada budaya mereka.

Ini kerana, Muay Thai di­amalkan sejak berabad-abad lalu sebagai cara untuk lelaki Thailand mempertahankan diri tanpa menggunakan senjata.

Seni mempertahankan diri ini turut dikenali sebagai ‘science of eight limbs’ kerana menggunakan anggota badan sebanyak lapan kali ketika beraksi dengan tangan, siku, lutut dan kaki apabila membuat serangan dalam lima pusingan, dengan perlu bertahan dalam tempoh tiga minit.

Anak lelaki dan perempuan diajar Muay Thai sejak kecil dan bukanlah sesuatu yang janggal dalam masyarakat sekiranya budak berusia enam tahun mengambil bahagian dalam pertandingan di hadapan ratusan penonton.

Kanak-kanak ini didorong atau terpaksa untuk menyertainya pa­da usia muda dalam usaha meraih kekayaan dan kemasyhuran.

Kebanyakan kanak-kanak ini berasal daripada keluarga miskin dan menjadi tulang belakang keluarga, sekali gus mendedahkan mereka kepada aktiviti perjudian di dalam gelanggang.

Inilah yang menjadi persoalan masyarakat dunia ke­rana mengapa ada pihak yang sanggup meletakkan taruhan wang semasa perlawanan dan mendedahkan kanak-kanak ini kepada bahaya.

Lebih malang lagi, seperti yang dilaporkan media, seorang remaja, Anucha Tasako, 13, meninggal dunia akibat pendarahan otak dalam satu perlawanan amal pada 10 November lalu di wilayah Samut Prakan berhampiran Bangkok.

Anucha dikatakan ditumbuk beberapa kali di bahagian kepala oleh lawannya sehingga tidak berdaya dan rebah.

Imej rakaman telefon pintar yang disiarkan media tempatan memaparkan dia kaku dan tidak menunjukkan sebarang pergerakan ketika pembantunya meluru masuk ke gelanggang.

Difahamkan, lawan­nya itu seusia dengannya dan media tempatan turut melaporkan mangsa mula terlibat dengan perlawanan itu sejak berusia lapan tahun dan menyertai kira-kira 150 perlawanan.

Sementara itu, lawannya, Nitikron Sonde berasa sedih dan menyesali kematian mangsa.

Dia memuat naik status di akaun Facebooknya dengan berkata, ‘saya menyesal tetapi saya hanya menjalankan tugas untuk menang agar saya boleh mendapatkan wang untuk mem­biayai pengajian saya’.

Ini mengejutkan dunia dan masyarakat Thailand turut berang dengan insiden kematian remaja itu lantas mahu rang undang-undang mengharam­kan kanak-ka­nak berusia ba­wah 12 tahun mengambil bahagian dalam pertandingan seumpama itu.

Sebelum ini, pada awal 1990-an, beberapa penyokong hak asasi manusia mendakwa kanak-kanak yang bertarung demi wang dalam pertan­dingan Muay Thai adalah satu bentuk eksploitasi.

Dalam usaha untuk me­ngurangkan eksploitasi dan buruh kanak-kanak, Thailand menandatangani perjanjian Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan Hak Kanak-kanak pada 1992 dengan kebanyakan komuniti Muay Thai di negara itu tidak mempersetujuinya.

Susulan itu, Pusat Perlin­dungan Hak Asasi Kanak-Kanak di Bangkok turut menyerahkan petisyen kepada kerajaan Thailand pada 1999 untuk mengharamkan tinju kanak-kanak.

Bagaimanapun, pergerakan itu gagal apabila penduduk kampung berpendapat bahawa ekonomi luar bandar me­rundum tanpa ‘kemenangan’ daripada anak mereka kerana tidak menyertai Muay Thai.

Bagi menyelesaikan perkara ini, Undang-undang Tinju 1999 melonggarkan syarat kanak-kanak di bawah 15 tahun untuk bertarung dengan surat kebenaran ibu bapa.

Justeru, insiden kematian Anucha ini diharap dapat membuka mata dan sokongan pelbagai pihak untuk menggubal draf undang-undang agar kanak-kanak ini mendapat perlindungan sewajarnya dan tidak lagi menggadai nyawa kerana terpaksa ‘bertarung’ di gelanggang.

Tubuh anak kecil ini tidak lagi perlu dibebani dan Thailand perlu memperkasa undang-undang agar tiada lagi kanak-kanak menjadi korban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN