MANCHESTER 28 Nov. – David de Gea menerima sanjungan tinggi sebagai penjaga gol terbaik dunia oleh pengurus Jose Mourinho selepas pemain Sepanyol itu memperagakan aksi cemerlang terutama di babak kedua sehingga membolehkan mereka mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara hari ini.
Susulan kemenangan 1-0 ke atas Young Boys di Old Trafford, Mourinho turut memuji aksi anak-anak buahnya yang lain kerana membantu menunaikan matlamat United untuk penjaga gol berusia 28 tahun itu, yang dikaitkan dengan perpindahan ke juara Perancis, Paris Saint-Germain.
“Dia merupakan penjaga gol terbaik di dunia. Matlamat kami adalah ingin memiliki penjaga gol terbaik dunia. Jadi kami perlu mengekalkannya,” kata Mourinho merujuk kepada De Gea yang bertindak cemerlang membantu United dalam aksi Kumpulan H, hari ini.
Tuan rumah dilihat bekerja keras untuk memecah kebuntuan pada ketika juara Switzerland itu semakin berkeyakinan.
Pada minit ke-70, tendangan Ulisses Garcia terkena pemain United dan hampir menjaringkan gol untuk pasukan pelawat, namun aksi cemerlang De Gea dengan menguis bola tersebut berjaya mengatasi peluang keemasan itu.
Teknologi garisan menyaksikan bola tersebut berada di atas garisan ketika De Gea menerbangkan badannya.
“Ia satu fenomena daripada aksi tersebut. Satu aksi cemerlang yang dipamerkan penjaga gol bertaraf dunia dan memberikan United peluang untuk memenangi perlawanan,” kata Mourinho yang gembira di atas kejayaan pasukannya menerusi ledakan tunggal Marouane Fellaini pada penghujung perlawanan.- REUTERS










