MANCHESTER 12 Nov. – Manchester United sudah boleh melupakan hasrat mencabar Manchester City dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini ekoran kekalahan 1-3 semalam, kata Jose Mourinho.
Pengurus kelahiran Portugal itu juga mengakui, pasukannya boleh dianggap bernasib baik jika dapat menempatkan diri dalam kelompok empat teratas selepas ketinggalan 12 mata di belakang City.
“Sejak awal musim lagi kami sedar terdapat perbezaan kualiti (dengan City) dan kami hanya bersaing untuk kelompok empat terbaik,” kata Mourinho.
Ini kekalahan keempat United musim ini, sekali gus menyebabkan mereka jatuh ke tangga kelapan liga dan berisiko gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Kali terakhir United menewaskan City di Etihad adalah April lalu apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum menang 3-2.
City bermula garang apabila mendahului 2-0 menerusi David Silva dan Sergio Aguero.
Biarpun United merapatkan jurang menerusi penalti Anthony Martial pada minit ke-58, namun Ilkay Gundogan menutup harapan pelawat untuk bangkit dengan meledak gol ketiga pada minit ke-84. – AFP











