LONDON – Legenda bola sepak, Diego Maradona percaya pengurus Manchester United, Jose Mourinho lebih baik daripada rakan sejawatnya di Manchester City, Pep Guardiola.
Malah Maradona menegaskan bekas pengurus Real Madrid dan Chelsea itu adalah yang terbaik di dunia.
“Bagi saya, Mourinho adalah yang terbaik,” katanya kepada Marca.
“Saya tetap berikan pujian kepada Pep atas kesempatan yang diambil ketika bermain di bawah kendalian Johan Cruyff di Barcelona pada satu ketika dahulu.
“Namun saya telah mengatakan lebih dari satu kali, tiki-taka bukan dibawa oleh Guardiola tetapi ia telah dicipta oleh ‘Flaco’ Cruyff.
“Buat masa ini Pep mampu memilih mana-mana pemain yang dia mahu. Dengan cara itu, tiki-taka lebih mudah,” jelas Maradona.
Maradona kini menjadi pengurus kelab divisyen kedua Mexico, Dorados dan menegaskan dia masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki sebagai pengurus.
Ditanya sekiranya adakah dia berminat untuk menguruskan pasukan kebangsaan Sepanyol, pemenang Piala Dunia 1986 itu berkata dia hanya berminat dengan projek jangka masa panjang.
Tetapi sebelum itu, dia mahu ke Manchester United dahulu untuk berguru dengan Mourinho. – Agensi











