Motif flora buat wanita bersukan - Utusan Malaysia

Motif flora buat wanita bersukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOTIF flora dalam baju sukan dilihat agak canggung, namun koleksi terbaharu jenama sukan antarabangsa, Nike, tampil berani menyuntik elemen kelainan pada koleksi Hyper Flora, yang dilancarkan di empat negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia baru-baru ini.

Bekerjasama dengan platform fesyen dalam talian Asia, Zalora, jenama itu turut meraikan golongan media, selebriti media sosial dan pelanggan, dalam satu majlis prebiu di Singapura bagi memperkenal koleksi terbaharu berkenaan yang diacarakan oleh hos selebriti, Barbara Latimer dan disertai jurugaya dalaman Zalora, Wei Voon.

Diraikan dengan penuh meriah, koleksi yang diinspirasikan melalui warna-warna yang diterjemahkan daripada elemen-elemen negara Mexico, memberi warna baharu dalam pakaian sukan wanita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Koleksi Hyper Flora ini membawa tenaga dan keperibadian yang kuat dalam koleksi pakaian sukan wanita, yang inginkan aura energetik dalam penampilan.

Tidak seperti kebanyakan pakaian sukan, koleksi berkenaan menambah elemen feminin dengan jelas pada setiap helaian persalinan dengan motif flora pada bahagian tumpuan seperti dada, paha dan hujung kaki.

Bagi meraikan semangat kuat wanita, jenama itu memilih potongan dan siluet yang nyata, dengan koleksi merangkumi barisan Nike’s Running, Training dan Lifestyle.

Menyedari bagaimana ‘kuasa’ sukan dapat memberikan semangat luar biasa kepada wanita, koleksi Hyper Flora diberi sentuhan eksklusif pada motif apabila ia dilukis tangan, yang melambangkan kekayaan kehidupan di Mexico dan pemandangan flora dan fauna negara itu.

Ilham daripada Mexican Breadfruit, Morning Glory, Majesty Palm, Neotropical Ocrhid, Macaw Parrot serta beberapa motif bunga tropika biasa, menjadi antara pilihan pereka dalam memberi keunikan pada barisan pakaian sukan sama ada baju atau seluar.

Koleksi bercetak yang didatangkan dengan material tahan lasak dan selesa dipakai dalam cuaca negara panas dan lembab itu, meraikan kepelbagaian warna sama ada terang, gelap dan pastel.

Cetakan yang menggunakan rona terang digabungkan pada helaian biru tua, merah dan hijau terang, serta didatangkan dengan seleksi warna cerah dan warna pastel seperti merah jambu, kelabu, biru muda dan kuning yang menepati cita rasa wanita.

Koleksi berkenaan direncanakan dengan sebaiknya dengan pilihan potongan dari baju dalam, seluar sendat, baju tanpa lengan sehingga rekaan kasut yang diberi suntikan motif flora sama ada boleh dipakai sepasang mahupun berasingan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN