Mohd. Shafie Ketua Menteri Sabah yang sah, Musa bayar denda RM30,000 - Utusan Malaysia

Mohd. Shafie Ketua Menteri Sabah yang sah, Musa bayar denda RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Jawatan Ketua Menteri Sabah sah milik Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menggugurkan saman difailkan Tan Sri Musa Aman yang mendakwa pelantikan Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri tidak mengikut perlembagaan pada 17 Mei lalu.

Pengguguran itu sekali gus membubarkan jawatan menteri Kabinet lantikan Musa ketika beliau menjawat jawatan Ketua Menteri pada 11 Mei lalu sebelum bekas Ketua Menteri itu kehilangan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 12 Mei.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Yew Jen Kie berasaskan dua perkara utama iaitu kehilangan majoriti ADUN daripada parti yang diketuai Musa iaitu Barisan Nasional (BN) dan bidang kuasa Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin terhadap pelantikan Ketua Menteri.

“Bukti menunjukkan enam ADUN BN di Sabah menyatakan sokongan kepada defendan kedua (Mohd. Shafie) untuk dilantik sebagai Ketua Menteri. Defendan pertama (Juhar) membuat keputusan pelantikan Ketua Menteri baharu setelah yakin plaintif (Musa) hilang majoriti.

“Sokongan enam ADUN BN-Sabah telah berkurangan daripada 29 kepada 23. Plaintif (Musa) telah hilang bilangan majoriti. Defendan pertama (Juhar) dalam bidang kuasa membuat keputusan mengikut Perlembagaan Negeri,”katanya.

Enam ADUN itu ialah Datuk Hamisa Samat (Tanjong) Batu), Abdul Muis Picho (Sebatik), Osman Jamal (Balung) dan Jamawi Jaafar (Kemabong) selain Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Ewon Benedick (Kadamaian) dari Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Tindakan enam ADUN terbabit sekali gus menjadikan jumlah kerusi Warisan, PKR dan DAP bertambah kepada 35 kerusi berbanding 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pada masa sama, ia menyebabkan BN yang dibentuk bersama Parti Solidariti Tanah Airku (Star) kehilangan sokongan dan hanya memiliki 25 kerusi DUN berbanding 31 kerusi yang dipe­roleh pada pilihan raya itu.

Pada prosiding yang sama Hakim mengarahkan plaintif membayar kos ganti rugi terhadap kedua-dua defendan pada kadar RM15,000 seorang.

Prosiding yang berlangsung selama sejam itu, Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga diwakili peguam, Tengku Fuad Ahmad dan S. Vanugopal manakala Datuk Douglas Lind pula mewakili Mohd. Shafie.

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin mewakili Tun Juhar.

Hadir pada prosiding, ialah barisan Kabinet kerajaan negeri termasuk Mohd. Shafie, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, Datuk Madius Tangau dan Datuk Jaujan Sambakon. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN