Mohamad Sabu lawat mangsa kebakaran - Utusan Malaysia

Mohamad Sabu lawat mangsa kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 4 Nov. – Kesusahan sepasang suami isteri yang kehilangan rumah akibat kebakaran di Pangsapuri Taman Pendamar Indah 2 di sini Isnin lalu, mendapat perhatian Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.

Meskipun sibuk dengan urusan pentadbiran negara, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan sempat meluangkan masa dengan melawat keluarga mangsa untuk memberi sumbangan.

Akibat kebakaran itu, keluarga P. Subramaniam, 52, kini kehilangan tempat berteduh dan terpaksa menumpang di Dewan Orang Ramai Pandamaran Jaya.

“Hari ini saya datang untuk melihat sendiri keadaan keluar­ga ini dan mengarahkan pasu­kan bomba dan penyelamat membuat taksiran kerugian bagi membolehkan bantuan sewajarnya dihulurkan kepada mereka,” katanya ketika ditemui dalam lawatan itu.

Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Ketua Bomba Zon Klang, Samsol Maarif Saibani.

Mohamad memberitahu, sebagai bantuan awal untuk menampung keperluan semasa, sumbangan sebanyak RM1,000 diberikan kepada Subramaniam yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Bantuan selanjutnya akan diberikan mengikut laporan kerosakan yang diterima daripada pihak bomba dan ia akan disalurkan menerusi peruntukan Pejabat Parlimen Kota Raja, Pejabat Dewan Undangan Ne­geri Sentosa dan kerajaan Sela­ngor,” ujarnya.

Sementara itu, Samsol Maarif berkata, kebakaran yang menyebabkan rumah mangsa musnah 100 peratus itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memasak.

“Kejadian itu turut mencetuskan letupan yang menyebabkan sebahagian daripada din­ding rumah pangsa di tingkat dua itu jatuh ke tingkat bawah dan menimpa sebuah kereta Pe­rodua Myvi,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN