MOA lakukan pemutihan 1,000 pemegang lesen menangkap ikan laut dalam - Utusan Malaysia

MOA lakukan pemutihan 1,000 pemegang lesen menangkap ikan laut dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan ‘pemutihan’ bagi mengenal pasti seramai 1,000 pemegang lesen menangkap ikan laut dalam adalah mereka yang benar-benar layak.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, tindakan tersebut diambil bagi memastikan tiada pihak menyalahgunakan lesen dan keistimewaan yang diberikan kementerian. 

“Hasil pemeriksaan dibuat, lebih kurang 1,000 pemegang lesen menangkap ikan laut dalam dan kementerian dalam proses memastikan siapakah pemegang-pemegang lesen berkenaan. 

“Di bawah ‘good governance’ ini kita mesti pastikan bahawa nelayan itu mesti nelayan, pesawah itu mesti pesawah dan petani itu mestilah petani,” katanya ketika ditemui selepas Program Bicara Minda anjuran di sini hari ini.  

Program berkenaan dikendalikan oleh Moderator Tan Sri Johan Jaafar.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, isu pemegang lesen menangkap ikan laut dalam adalah cabaran besar buat dirinya sejak menerajui kementerian berkenaan.

“Kabinet sekitar tahun 2008, (telah) keluarkan 500 lesen untuk bot-bot nelayan dari Vietnam ini dilesenkan di sini dan tangkap ikan di perairan kita. 

“Setelah saya buat semakan, mereka bot daripada luar pakai lesen kita, tangkap ikan di sini dan dijual di Vietnam dan Thailand.

“Lebih dasyat lagi dia (nelayan) jual ikan kelas A di tengah laut dan bot-bot Vietnam ini bawa balik ke negara mereka tetapi depan mata kami mereka hantar ikan kecil ke negara ini,” katanya. 

Salahuddin berkata, perkara ini berlaku disebabkan campur tangan politik. 

“Beri saya masa dalam beberapa bulan ini untuk saya buat pemeriksaan dan pembersihan (lesen menangkap ikan laut dalam),” ujarnya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN