Misi dua puncak sempena merdeka - Utusan Malaysia

Misi dua puncak sempena merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUTI umum yang bersambung dengan cuti hujung minggu biasanya menjadi tarikh pilihan kelab untuk menganjurkan aktiviti mendaki. Justeru, sempena cuti umum 31 Ogos 2018 yang jatuh pada hari Jumaat, Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) mengadakan ekspedisi mendaki di Negeri Sembilan.

Dua gunung menjadi ‘buruan’ peserta yang terdiri daripada 23 orang. Gunung Besar Hantu (GBH 1,462 meter) dan Gunung Hantu (GH 1,241 meter) serta Lata Damar berjaya ditawan dalam masa tiga hari dua malam. Malim gunung, Ainul Azlif Azman bersama kru bertugas saling bekerjasama bagi memastikan pergerakan peserta lancar.

Pada malam ambang merdeka, kami berkumpul di stesen LRT Gombak sebelum bergerak ke Jelebu. Kami berehat di rumah Mohamad Alif Mu’adz Amrus di Kuala Klawang. Usai sarapan, kami menaiki kenderaan pacuan empat roda (4×4) menuju ke Balai Polis Kampung Chennah untuk memaklumkan tentang pendakian ini. Selesai urusan di balai, kami terus menuju ke tempat mula mendaki.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perjalanan memakan masa 40 minit. Selepas sesi taklimat yang disampaikan oleh ketua ekspedisi dan Ainul, kami melakukan senaman regangan, sebelum berdoa agar pendakian naik dan turun selamat.

Kami mula berjalan menuju ke Kem Sungai Kering pada pukul 9.30 pagi. Pendakian ke kem itu menempuh jalan balak lama sejauh 1.7 kilometer. Di kem itu, peserta awal menunggu sweeper dan pendaki lain tiba. Pendakian diteruskan ke Kem Orkid, iaitu tempat kami akan bermalam pada hari pertama ekspedisi.

Peserta terakhir tiba pada pukul 2.30 petang. Di kem ini, ketua ekspedisi membuat keputusan bahawa perancangan ke GBH dan GH akan dilakukan serentak keesokan harinya. Mengikut tentatif awal, pendakian ke GBH akan dibuat pada hari pertama dan GH pada hari kedua.

Keesokannya, seawal subuh, kami mula bersiap untuk mendaki dua puncak sekali gus. Jam menunjukkan pukul 4.25 pagi ketika kamu mula bergerak ke simpang GBH-GH dan tiba, kira-kira satu jam kemudian. Kami berehat dan menunaikan solat subuh di situ.

Perjalanan diteruskan ke puncak pertama iaitu GBH. Peserta terakhir tiba pada pukul 6.55 pagi. Pemandangan matahari terbit tidak mengecewakan. Kelihatan banjaran gunung terbentang luas. GH dan Gunung Nuang dapat dilihat dengan jelas. Ketika angin mula bertiup kencang, kami mula bergerak turun pada pukul 7.40 pagi.

Tepat pukul 9 pagi, kami tiba di titian kayu. Titi itu diperbuat daripada longgokan kayu yang disokong pada kayu bonsai pada pangkalnya dan di hujungnya dipasak pada batu gunung. Jarak titian lebih kurang tiga meter. Tali sepanjang 10 meter, tali sling, dan carabiner digunakan untuk mengelak kejadian tidak diingini.

Selepas menempuah laluan titi, kami ‘dihidangkan’ pula dengan laluan batuan menegak, hampir 90 darjah. Melepasi laluan itu, barulah kami tiba di puncak view (Gunung Hantu Kecil). Di sini, kami perlu berhati-hati kerana risiko batuan longgar yang mudah menggelongsor.

Jadi, pastikan ada jarak antara peserta. Pendakian diteruskan ke GH setelah selesai bergambar. Masa pendakian dari puncak view ke GH adalah kira-kira 30 minit. Secara teorinya, permatang yang kelihatan dalam GPS nampak bersambung, tetapi realitinya ia terputus antara tebing. Jadi, itu mungkin menimbulkan kekeliruan kepada pendaki yang menamakannya sebagai ‘Gunung Hantu Kecil’, pada hal tiada nama itu direkodkan di dalam peta topografi.

Di puncak GH, terdapat batu penanda puncak. Jika diteruskan perjalanan melalui sempadan, kita boleh sampai ke puncak Pengasih dekat Gunung Nuang, iaitu selepas melewati Bukit Enjin dan Bukit Serdang. Selesai bergambar kumpulan, kami mula bergerak turun ke Kem Orkid.

Setelah makan tengah hari pada pukul 2 petang, kami bergerak turun ke Kem Sungai Kering dan dari situ, kami menuju pula ke Lata Damar. Jarak ke sana sejauh 2.7 kilometer, mengambil masa hampir dua jam.

Perjalanan ke lata melalui trek balak yang tidak terlalu lama, tetapi sedikit menaik dan turun. Kami bermalam di lata ini dalam persekitaran suhu sejuk dan hujan lebat.

Keesokan hari, sekitar pukul 2 petang, kami meninggalkan Lata Damar. Tiga jam kemudian, kami tiba di tempat mula mendaki. Jentera 4×4 tiba pada pukul 6 petang dan terus membawa kami ke sungai untuk mandi dan menukar pakaian bersih.

Pihak OGKL ingin nmerakamkan takziah kepada keluarga Mohd Amir Maracar yang turut menyertai ekspedisi ini. Mohd Amir meninggal dunia ketika mendaki Gunung Berembun, Negeri Sembilan pada 25 September 2018. Al-fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN