TAIPEI 12 Nov. – Mira Filzah yang diangkat sebagai Duta Pelancong Malaysia bagi proram Salam Taiwan sejak Ogos lalu menjadi sandaran kepada Taiwan untuk meningkatkan jumlah pelancong Islam dari Malaysia.
Walaupun pelancong Malaysia merupakan pelawat tertinggi dari Asia Tenggara ke Taiwan tahun lepas iaitu seramai 528,000 orang namun daripada jumlah tersebut hanya kira-kira 10 peratus merupakan masyarakat Islam Malaysia.
Justeru menurut Ketua Seksyen Bahagian Hubungan Antarabangsa Taiwan, David Tsao, melalui Mira Filzah program Salam Taiwan yang akan berlangsung sehingga Mei 2019 menyasarkan peningkatan 10 peratus pelancong Islam Malaysia tahun depan.
“Kita membawa Mira Filzah pada Ogos lalu ke Taiwan untuk melakukan video promosi Salam Taiwan. Jadi kita berharap personaliti popular Malaysia ini boleh menarik segmen pelancong Islam dari Malaysia. Kebanyakan pelawat dari Malaysia merupakan kaum Cina iaitu kira-kira 90 peratus.
‘Kita memilih Mira Mira Filzah kerana perwatakan dia yang menarik dan ceria serta mempunyai imej muslim,” kata David ketika mengalu-alukan kehadiran seramai sembilan orang pengamal media dari Malaysia untuk melihat dan merasai sendiri kemudahan yang disediakan kepada pelancong Islam yang melawat Taiwan.
Selain video, Biro Pelancongan Taiwan turut menerbitkan buku pelancongan berbahasa Melayu yang menawarkan tempat-tempat menarik kepada pelancong Islam Malaysia dengan Mira Filzah sebagai penghias muka depan buku bertajuk Salam Taiwan: Taiwan mengalu-alukan kunjungan anda.
Sejak tahun lalu Taiwan yang hanya mempunyai penduduk Islam berjumlah 300,000 orang telah melakukan promosi besar-besaran bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong Islam ke negara yang mempunyai penduduk berjumlah kira-kira 24 juta orang dengan majoritinya beragama Buddha dan Taois.
Negara pulau berkeluasan 35,917 kilometer itu tidak mahu ketinggalan merebut jumlah pelancong Islam yang dijangka bertambah sehingga 168 juta orang menjelang tahun 2020. Indeks Pelancongan Muslim Global menjangkakan pelancong Islam berbelanja AS$200 bilion.
“Rakyat Taiwan mudah mesra kepada orang luar tidak kira agama dan bangsa. Justeru mereka amat mengalu-alukan kehadiran pelancong Islam ke Taiwan. Kemudahan terhadap keperluan pelancong Islam juga semakin meningkat dari tahun ke tahun,” kata David.
Sehingga kini Taiwan mempunyai 324 restoran termasuk hotel bertaraf lima bintang yang memperoleh sijil halal dari Persatuan Muslim China (CMA). Persatuan tersebut sentiasa aktif memastikan restauran terbabit mematuhi perakuan halal yang mereka perolehi.
Selain itu pengusaha hotel dan restaurant turut berkerjasama dengan kerajaan Taiwan bagi menarik lebih ramai pelancong Islam ke negara tersebut antaranya termasuk menyediakan ruang solat kepada pelawat serta bilik air yang mesar umat Islam.
Usaha Taiwan itu tidak sia-sia apabila pada 11 April lalu Indeks Pelancongan Muslim Global yang dikeluarkan oleh MasterCard Inc. dan CrescentRating meletakkan Taiwan pada kedudukan kelima di dunia sebagai negara bukan Islam yang menjadi destinasi paling mesra kepada pelancong Islam. – UTUSAN ONLINE










