KUALA LUMPUR 10 Nov. – Empat individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan kes meminta suapan sebanyak RM2 juta bagi menyelesaikan kes seorang individu berpangkat Datuk Seri.
Perintah reman kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Sumber berkata, tiga daripada individu terbabit ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam dan seorang lagi ditahan pada pukul 8.15 malam tadi.
Menurutnya, tiga suspek yang berusia antara 33 hingga 49 tahun ditahan di sebuah kelab golf terkemuka di Sungai Buloh, Selangor manakala seorang lagi yang berusia 37 tahun ditahan di rumahnya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
“SPRM turut merampas tujuh telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan daripada kesemua suspek. Turut dirampas ialah wang tunai RM48,350 milik seorang daripada mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE











