WASHINGTON 10 Nov. – Bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama menghasilkan buku memoir yang mendedahkan kesukaran berhubung perkahwinan dan ketika melahirkan dua anak perempuannya.
Lapor BBC, dalam buku berjudul Becoming itu, Michelle mendedahkan pernah mengalami keguguran dan terpaksa menjalani rawatan pembenihan in vitro (IVF) untuk melahirkan kedua-dua anaknya iaitu Malia serta Sasha.
Michelle sewaktu tampil dalam rancangan Good Morning America terbitan stesen ABC memberitahu, beliau berasa ‘kehilangan dan sunyi’ selepas mengalami keguguran 20 tahun lalu.
“Saya berasa seperti saya gagal kerana saya tidak tahu bagaimana keguguran berlaku kerana kami tidak bercakap tentangnya.

“Kami berasa sedih, memikirkan terlalu patah hati. Adalah penting untuk berkongsi dengan ibu-ibu muda tentang fakta bahawa keguguran boleh berlaku,” katanya.
Beliau juga mengkritik Presiden AS, Donald Trump kerana ‘meletakkan keselamatan keluarganya dalam risiko’.
Selain itu, Michelle juga mendedahkan buat kali pertama dalam buku tersebut, beliau dan suaminya, Barack Obama pernah menjalani terapi pasangan.
Susulan penerbitan buku terbabit, Michelle akan mengadakan jelajah di 10 buah bandar termasuk London.










