Mental dan fizikal anggota bomba di perkukuh - Utusan Malaysia

Mental dan fizikal anggota bomba di perkukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG 5 Nov. – Ketahanan mental dan fizikal anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan terus diperhebatkan sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir tahun ini.

Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata, kedua-dua aspek tersebut amat dititik beratkan bagi memastikan anggota bomba dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat sepanjang kerja-kerja membantu dan menyelamatkan mangsa banjir.

Menurutnya, bukan itu sahaja tahap kemahiran menyelamat serta kecekapan mengendalikan bot turut diberikan perhatian.

“Saya akui tugas-tugas membantu dan menyelamat pada musim banjir memerlukan daya tahan yang cukup tinggi.

“Sebab itu, kita sentiasa memberikan penekanan kepada aspek ini supaya anggota berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan ketika banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Nazili memberitahu, secara keseluruhan pihaknya sudah bersiap sedia menghadapi banjir termasuklah di kawasan ini.

Katanya, segala aset-aset bomba juga telah diselia bagi memastikan semua berada dalam keadaan baik.

“Kita juga telah menggerakan aset-aset jabatan ke balai-balai berhampiran dengan kawasan yang sering dilanda banjir.

“Langkah awal ini bagi memastikan kerja-kerja menyelamat dapat berjalan lancar,” ujarnya.

Nazili berkata, cuti anggota bomba akan mula dibekukan pada 15 November ini sehingga pertengahan Disember.

Katanya, sekiranya musim tengkujuh berlaku lebih awal cuti tersebut akan dibeku pada bila-bila masa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN