GUA MUSANG – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam kereta berhampiran sebuah bengkel kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Tanah Putih di sini, semalam.
Dalam kejadian kira- kira pukul 11.40 pagi itu, mangsa, Zulkifli Isa, 52 tahun dari Kampung Pulau Setelu di sini, dipercayai menghidap masalah jantung.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, ketika kejadian orang awam menyedari mangsa tidak sedarkan diri dalam kereta jenis Proton Wira sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang bagi melaporkan kejadian itu.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk urusan pengesahan punca kematian.
“Pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan mengesahkan mangsa telah mengalami Acute Coronary Syndrome atau masalah jantung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd. Taufik, pemeriksaan awal juga menunjukkan tiada unsur-unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE










