PADA 1 November lalu, saya dijemput menjadi panelis forum Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah 2018 anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan yang bertemakan Pemerkasaan Undang-Undang Jenayah Syariah daripada perspektif Maqasid Syariah.
Konvensyen Pendakwaan Syarie seluruh Malaysia itu julung kali diadakan setelah pemisahan pendakwaan syarie Wilayah Persekutuan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.
Jabatan baru yang diketuai Abdul Razak Mat Nayan ini berjaya mengumpulkan pelbagai pihak yang terbabit dalam isu perundangan jenayah syariah di Malaysia sama ada daripada kalangan penguat kuasa agama, pendakwa syarie, peguam syarie dan ahli akademik bertujuan bagi melaraskan hala tuju dan pendekatan dalam sistem perundangan jenayah syariah di Malaysia.
Konvensyen ini juga dapat memperbetul salah tanggapan terhadap perundangan jenayah syariah yang digembar-gemburkan sesetengah pihak bertujuan untuk memperlekeh perundangan syariah khususnya jenayah syariah.
PERLU TAMBAH BAIK
Semasa menjadi panelis saya antara lain mengulas tentang perkembangan perundangan jenayah syariah iaitu dari sudut undang-undang telah banyak pencapaian dilakukan seperti mempunyai undang-undang khusus dan berasingan seperti Undang-Undang Pentadbiran, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah yang bertujuan memberi fokus dan panduan lebih lengkap dalam sesuatu prosiding jenayah syariah.
Berbanding suatu ketika dahulu, semua undang-undang sama ada jenayah atau mal semuanya dilonggokkan dalam satu undang-undang sahaja iaitu Undang-Undang Pentadbiran seperti Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Negeri Selangor) 1952.
Walaupun dari sudut ini pencapaiannya baik tetapi beberapa undang-undang lain mesti digubal bagi menyesuaikannya dengan tuntutan semasa.
Namun begitu dari sudut hukuman, perundangan jenayah syariah masih berada pada takuk lama sejak 1984 lagi. Hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah hanyalah tiga bulan penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan syariah. Ia kerana Akta 355 menghalang Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Malaysia menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah, yang mana hukumannya melebihi kadar yang disebut itu.
Malah Akta 355 yang hanya memberi kuasa membuat hukuman berbentuk tradisional (denda, penjara dan sebatan) sahaja menghalang bentuk-bentuk hukuman lain bersifat restoratif seperti kerja komuniti, khidmat masyarakat dan hukuman berbentuk pengajaran.
Selagi Akta 355 tidak dipinda ia tidak memberi laluan kepada DUN-DUN lebih kreatif menyediakan bentuk hukuman yang lebih baik.
Di samping itu, bagi memberi impak lebih berkesan dalam perundangan jenayah syariah ini, saya mencadangkan agar digarap mekanisme yang utuh bagi menyediakan latihan, penyelidikan dan sumber manusia dalam menggalas tanggungjawab perundangan jenayah syariah ini.
BUKAN SEMBERONO
Saya juga menekankan keperluan semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam melestarikan perundangan jenayah syariah di Malaysia.
Isu tajassus (pengintipan) yang digembar-gemburkan dilakukan penguat kuasa agama sebenarnya jauh tersasar daripada realiti. Menurut Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah, tajassus tidak diabsahkan penggunaannya. Siasatan hanya dilakukan setelah penguat kuasa agama mendapat laporan kemungkinan berlaku suatu kesalahan jenayah syariah di sesuatu tempat.
Tidak timbul isu penguat kuasa agama secara semberono memasuki mana-mana premis semata-mata ingin mengintip sama ada berlaku kesalahan jenayah syariah atau sebaliknya.
Banyak isu berkaitan dengan perundangan jenayah syariah khususnya dan perundangan syariah amnya dibangkitkan sejak kebelakangan ini.
Natijahnya ramai yang mencadangkan diwujudkan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi melicinkan pelaksanaan undang-undang ini. Walaupun demikian dari sudut yang lain, saya berpandangan apabila wujud terlalu banyak SOP ia bakal menjadikan pelaksana perundangan syariah terlalu fokus kepada SOP sehingga boleh menjadikan mereka seperti robot yang hilang pertimbangan kemanusiaan.
Ia menjadikan perundangan syariah tidak memiliki semangat syariah itu sendiri kerana penjawat awam akan lebih mementingkan SOP daripada hal lain. Bukanlah saya katakan tidak perlu ada SOP, tetapi terlalu banyak SOP akan hanya menghilangkan nilai kemanusiaan dalam melaksanakan undang-undang tersebut.
Pada pandangan saya, perkara yang lebih perlu diutamakan ialah latihan yang betul kepada pelaksana perundangan sama ada penguat kuasa agama, pendakwa syarie, peguam syarie mahupun mahkamah syariah.
Latihan yang dimaksudkan bukanlah latihan yang biasa dilakukan tetapi latihan berimpak tinggi yang dapat menganjak minda, berinovasi serta mencari formula terbaik melaksanakan perundangan syariah agar menjadi paksi kepada keadilan.
Walaupun saya adalah seorang peguam yang beramal di mahkamah syariah dan sivil, saya tidak berpandangan prosiding perundangan perlu mengambil tempat pertama dalam menangani sesuatu isu. Seharusnya perundangan syariah diletakkan di tempat terakhir untuk diambil tindakan. Ini disebabkan aspek-aspek lain seperti pendidikan, faktor sosial, keluarga masyarakat dan agama perlu disemai dalam diri orang Islam terlebih dahulu.
Namun jika telah berlaku sesuatu kesalahan, perundangan perlu mengambil tempat dan tidak boleh ditoleh balik faktor-faktor lain yang disebutkan di atas tadi.
Berbalik kepada konvensyen di atas, saya percaya resolusi konvensyen itu akan dapat memantapkan pelaksanaan perundangan jenayah syariah di Malaysia. Dengan pembentukan Jabatan Pendakwaan Syariah di beberapa buah negeri di Malaysia diharapkan negeri-negeri lain juga akan dapat mengikuti langkah baik ini.
Seterusnya penguat kuasa agama juga perlu diwujudkan satu jabatan yang khusus untuk mereka. Kalau dalam perundangan sivil, pihak polis menjalankan siasatan dan penguatkuasaan, pendakwa raya memulakan pertuduhan dan menjalankan perbicaraan dan mahkamah menjadi tempat mendapat pengadilan.
Dalam perundangan syariah kita sudah ada jabatan pendakwaan syariah dan mahkamah syariah tetapi ‘polis syariah’ atau penguat kuasa agama masih lagi diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam negeri-negeri.
Sudah sampai masanya kita mempunyai polis syariah atau Jabatan Penguat Kuasa Agama yang khusus melaksanakan penguatkuasaan jenayah syariah.










